NYUK FAH mahu anak buah lebih bersedia hadapi Hong Kong. FOTO/FAIL
Fadhli Ishak


KEKALAHAN skuad ragbi kebangsaan kepada Korea Selatan pada perlawanan pembukaan Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam bukanlah permulaan yang baik di kejohanan itu.

Tetapi keputusan 35-10 ke atas Malaysia yang julung kali tampil di pertandingan peringkat tertinggi benua Asia itu menunjukkan jurang sebenar dengan kuasa-kuasa besar di rantau ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung ialah pada tahun 1996 di mana Korea membelasah Malaysia 112-5, salah satu kekalahan terbesar negara dalam sukan itu.

Dalam pertembungan semalam, lima lagi pemain negara menyertai senarai kecederaan. Nathanial Tan patah rahang, Rosmanizam Roslan retak buku lali, Sofian Mohd Kamil koyak di hamstring, Mohd Nur Ikwan Nordin luka di pipi dan memerlukan tujuh jahitan manakala Amirul Aqil terhentak di kepala.

Kelima-lima dijangka terlepas perlawanan seterusnya bertemu Hong Kong Sabtu ini.

Sebelum ini Malaysia sudah kehilangan lima tonggak – K Dinesvaran, Etonia Vaqa Saukuru dan Samuela Tamanisau yang cedera, serta Jone Marawa Nasalo yang tidak mendapat pelepasan kelab dan Marc Le yang meninggalkan skuad minggu lalu atas sebab peribadi.

“Saya jangkakan Hong Kong adalah pasukan yang lebih kuat, mereka di ranking lebih tinggi (ke-22) berbanding Korea (31) dan secara fizikal juga lebih besar daripada Korea,” kata jurulatih skuad negara Lee Nyuk Fah.

“Kami akan memperbaiki kelemahan yang ditunjukkan ketika menentang Korea dan akan melakukan persiapan terbaik, kami tidak rugi apa-apa bertemu Hong Kong. Ia akan memberi pengalaman yang baik buat pemain-pemain.”

Skuad negara kini di tangga terakhir dalam liga manakala Korea teratas dengan empat mata. Malaysia di ranking ke-45 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 1:44 AM