LEWIS Hamilton menjulang trofi dan menunjukkan isyarat bagus selepas memenangi perlumbaan GP Azerbaijan di Baku. - FOTO Reuters
Reuters

BAKU (Azerbaijan): Lewis Hamilton berada di puncak podium Formula Satu buat pertama kalinya musim ini di Azerbaijan malam tadi, namun situasi itu membuatkannya tidak selesa.

Pelumba Mercedes itu sedar tuah memihak kepadanya manakala rakan sepasukannya hampir menuju kemenangan sehinggalah serpihan di trek menyebabkan tayar pelumba Finland itu pancit sekali gus meranapkan peluangnya ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan.

“Saya berada di podium, yakin bahawa Valtteri (Bottas) wajar berada di sini kerana saya fikir dia berhak mendapatkannya,” kata pelumba Britain yang menangguhkan keraian itu kerana bersimpati dengan Bottas.

Hamilton tidak pernah menang dalam enam perlumbaan, kali terakhir di Amerika Syarikat pada Oktober lalu dan kejutan semalam meletakkan juara dunia empat kali itu sebagai pendahulu buat kali pertama tahun ini.

Dia kini mendahului pelumba Ferrari Sebastian Vettel yang menduduki tangga keempat dengan empat mata selepas empat perlumbaan.

“Saya tahu betapa sukarnya apabila anda berhadapan hari seperti itu, apabila anda sangka boleh menang dan ia dirampas daripada anda, kerana saya pernah mengalaminya sebelum ini," ulas Hamilton mengenai penderitaan Bottas itu.

Dia boleh meraikannya seperti biasa, seperti dilakukan pelumba lain apabila dia gagal, namun dia berkata itu bukan caranya.

Hamilton agak ketinggalan sepanjang sesi latihan dan biarpun berada di barisan depan selepas kelayakan, dia dilihat tidak mungkin mampu mencapai selain tangga ketiga podium.

“Saya rasa begitu berbeza. Saya ingin menang kerana saya pernah mengatasi setiap pelumba dan hari ini, pemanduannya tidak menunjukkan seperti apa sebenarnya mampu saya lakukan,” katanya.

“Jika biasanya saya melakukan eagle atau birdie, hari ini hanya sebahagian par dan beberapa bogey. Ia harinya apabila kita bermain golf dan mendapat triple bogey.”

Bottas sebaliknya, tidak melakukan sebarang kesilapan.

“Saya benar-benar kecewa. Ia amat menyakitkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 1:21 PM