JUPP HEYNCKES
AFP

JUPP Heynckes berkata Bayern Munich kendaliannya menampilkan persembahan terbaik mereka tetapi dikecewakan dengan kesilapan oleh penjaga gol Sven Ulreich sehingga membolehkan Real Madrid mara ke final Liga Juara-Juara.

“Kami amat kecewa,” kata Heynckes. “Pasukan saya bermain dengan cemerlang. Sudah bertahun-tahun saya tidak melihat Bayern bermain baik begini.

“Di peringkat ini anda tidak boleh melakukan kesilapan seperti yang kami lakukan selepas rehat.”

Ulreich menjadi punca jaringan kedua Karim Benzema hanya selepas seminit babak kedua permainan bermula di stadium Santiago Bernabeu apabila tersilap membaca hantaran ke belakang Corentin Tolisso yang dimanfaat penyerang Perancis itu ke dalam gawang kosong.

James Rodriguez menyamakan kedudukan untuk Bayern pada minit ke-63, namun harapan pelawat untuk memburu gol kemenangan yang akan membawa mereka ke final berdasarkan jaringan di tempat lawan tidak berhasil.

Real menang 4-3 secara agregat dan akan bertemu sama ada Roma atau Liverpool pada aksi final di Kiev 26 Mei ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 11:17 AM