PENYERANG Perak, Gilmar Da Silva (kanan) menendang bola ke arah gawang Melaka pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat. - Foto BERNAMA
Nazri Abu Bakar


PERAK menambah derita Melaka United (MU) selepas menang 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi.

Namun MU yang beraksi tanpa kelibat ketua jurulatih Eduardo Almeida sepanjang 90 minit dilihat beraksi pada tahap menyakinkan dengan persembahan bersungguh-sungguh sepanjang 45 minit pertama.

Apapun Perak terlebih dahulu melakukan dua percubaan menerusi tandukan Robert Cornthwaite pada minit ke-10 dan minit ke-13 tetapi sedikit tersasar.

Peluang terbaik MU menjaringkan gol pembukaan hadir pada minit ke-19  menerusi rembatan Jeon Woo Young namun bijak ditepis keluar penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim.

Kehadiran kira -kira 8,000 penyokong pasukan yang memperolehi tiket percuma jelas melonjak semangat pemain namun percubaan deras Tiago Gomez pada minit ke -22 tinggi melepasi palang gol.

Bagaimanapun semangat mereka disentap menerusi keputusan kontroversi pengadil melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Faizal Muhamad sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat untuk mudah Wender Luiz menghadiahkan gol pertama Perak pada minit ke- 45 perlawanan.

Skuad Bos Gaurus bijak mengambil kelebihan diatas aksi 10 pemain MU menerusi jaringan kedua Wender Luiz pada minit ke-56 menewaskan penjaga gol Muhammad Zamir Selamat.

Tuan rumah akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Yahor Zubovich pada minit ke-80 dan asakan bertali arus tuan rumah pada minit-minit akhir namun gagal menambah jaringan dalam usaha meraih sekurang-kurangnya satu mata berharga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 11:21 PM