PENJAGA gol Bayern Munich, Sven Ulreich memohon maaf kepada pasukan dan peminat selepas gagal membantu Bayern mara ke final Liga Juara-Juara. FOTO EPA-EFE

PENJAGA gol Bayern Munich, Sven Ulreich meminta maaf susulan kesilapan yang dibuatnya ketika perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, awal pagi semalam sekali gus disingkirkan Real Madrid.

Ketika perlawanan terikat 1-1 selepas babak pertama berakhir, kesilapan Ulreich menghadiahkan Karim Benzema gol keduanya pada perlawanan itu sekali gus memberikan tuan rumah kelebihan di awal babak kedua.

Ulreich tersilap perkiraan apabila gagal untuk mengeluarkan bola hantaran ke belakang Corentin Tolisso daripada kawasan bahaya lantas membenarkan Benzema mudah menolak masuk gol.

Bayern tetap bangkit daripada kesilapan itu apabila James Rodriguez menyamakan kedudukan tetapi selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2, Real yang memiliki kelebihan susulan kemenangan pada aksi pertama mara dengan agregat 4-3.

Ini kali kelima kelab gergasi Jerman itu tewas kepada Real di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dalam lima tahun berturut-turut.

“Tiada kata-kata dapat saya gambarkan betapa kecewanya saya mengenai penyingkiran daripada Liga Juara-Juara,” kata Ulreich dalam laman sosial Instagram miliknya.

“Kami benar-benar mahu ke final, kami melakukan yang terbaik tetapi kemudian kesilapan tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak mempunyai penjelasan.

“Saya minta maaf... untuk pasukan saya dan juga kepada kamu peminat.”

Ulreich menjadi penjaga gol utama Bayern selepas penjaga gol Jerman dan juga kapten, Manuel Neuer mengalami kecederaan pada September lalu.

Prestasi baiknya membantu Bayern mengesahkan kejuaraan keenam Bundesliga berturut-turut bulan lalu dan sejurus permohonan maaf dikeluarkan, dia pantas mendapat sokongan rakan sepasukannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 12:55 AM