ABDUL AZIM MOHD ZABIDI
Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi tidak berhasrat melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) sekiranya memenangi jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Sabtu ini.

Azim yang memegang jawatan sebagai ketua satu agensi kerajaan tidak melihatnya sebagai masalah untuk menjadi orang nombor dua di MOM walaupun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak membenarkan campur tangan kerajaan.

“Saya tidak lihat ia menjadi masalah kerana hanya sebagai ketua di sebuah agensi kerajaan. Memang benar IOC tidak membenarkan campur tangan, jadi kita cuba jangan wujudkan perkara itu. Namun hakikatnya, mana ada negara di dunia ini tidak mempunyai campur tangan dalam majlis Olimpik masing-masing,” jelasnya.

Menurutnya, situasi berbeza ketika Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria melepaskan jawatan Pengerusi ISN selepas dilantik sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“BAM persatuan sukan kebangsaan yang mempunyai hubungan terus dengan ISN di bawah Program Podium. Beliau tidak mahu berlaku konflik namun MOM adalah badan yang memayungi semua persatuan sukan kebangsaan di negara ini. Jadi saya tidak nampak sebarang konflik boleh timbul,” jelasnya.

Azim akan bertanding dengan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnain Omardin bagi merebut jawatan Timbalan Presiden MOM penggal 2018-2021.

Azim dilabel sebagai calon bukan pilihan dengan Megat Zulkarnain dikatakan mendapat sokongan kebanyakan persatuan sukan kebangsaan untuk menjadi orang nombor dua dalam membantu Norza sebagai teraju utama MOM.

“Terserah kepada perwakilan membuat keputusan bijak, kedua-duanya ada pengalaman serta kebolehan. Ada 35 persatuan sukan kebangsaan yang boleh membuat pilihan, setiap satunya mempunyai tiga undi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 5:31 PM