S Veenod. FOTO arkib NSTP

 

PEMAIN tengah S Veenod menuntut Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melunaskan gajinya sejumlah RM100,000 yang tertunggak sejak Februari lalu.

Veenod yang digugurkan oleh jurulatih baharu The Red Warriors, Fajer Ebrahim berkata, dia sudah memberi masa yang cukup serta bertolak ansur namun hilang sabar dengan karenah badan bola sepak itu yang seolah-olah mengambil sikap lepas tangan.

“KAFA masih berhutang dua setengah bulan gaji dengan saya. Setakat ini mereka hanya melangsaikan 50 peratus gaji Februari tapi masih sangkut setengah lagi untuk bulan itu serta gaji bulan Mac dan April yang keseluruhannya berjumlah hampir RM100,000,” kata Veenod.

“Saya sudah berusaha dengan pelbagai cara untuk mendapatkan hak saya itu sama ada bersemuka dengan presiden (Bibi Ramjani Ilias Khan) mahupun bertanya melalui mesej WhatsApp tapi gagal.

“Sebaliknya presiden meminta saya menamatkan kontrak saya sendiri dan beliau berjanji akan melangsaikan semua gaji tertunggak itu.

“Masalahnya, bukan saya yang mahu meninggalkan pasukan itu sebaliknya mereka yang menggugurkan saya tanpa alasan yang kukuh. Jika mereka mahu tamatkan kontrak saya dan bayar pampasan, saya boleh terima.

“Saya ada mulut untuk makan, saya ada keluarga untuk ditanggung. Pinjaman bank saya kena bayar tapi kalau begini keadaannya, adakah mereka nak suruh saya makan pasir atau nak suruh saya pinjam Along untuk bayar hutang bank?”

Justeru Veenod berharap KAFA lebih bertimbang rasa serta bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu itu dengan segera sebelum dia mengambil langkah lebih drastik.

“Setakat ini saya belum membuat aduan secara rasmi kepada PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) tapi jika mereka masih mengabaikan tuntutan ini, saya tidak mempunyai pilihan.

“Saya sedia menamatkan kontrak dengan Kelantan jika ada pasukan mahu mengambil saya pada perpindahan kedua ini tapi akan tetap nak tuntut tunggakan gaji itu kerana itu hak saya.

“Jika tidak ada pasukan berminat, saya akan tunggu sehingga kontrak saya berakhir pada penghujung musim 2019 walaupun sudah digugurkan daripada pasukan kecuali KAFA mahu menamatkan kontrak lebih awal serta sanggup membayar pampasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 1:24 PM