PEMAIN Hong Kong Nick Hewson (tengah) melonjak tinggi untuk menyambut bola ketika saingan menentang Malaysia pada Kejohanan Ragbi Asia 2018. FOTO Bernama
Mohd Khairie Khalid


SEPERTI djangka, skuad ragbi negara terus dikecewakan pada Kejohanan Ragbi Asia 2018 apabila dibelasah 67-8 oleh Hong Kong pada aksi berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Malaysia hanya mendapat satu 'try' yang diperoleh menerusi pemain nombor lapan, Timoci Vunimoku pada minit ke-33 untuk lima mata.

Bagaimanapun Hong Kong yang terlebih dulu memperoleh 'try' pada minit ke-14 menerusi Lee Yongseung tidak mengalah apabila terus mengasak kubu Malaysia, menjadikan kedudukan 27-5 sehingga tamat babak pertama.

Memasuki babak kedua, skuad negara terus mengasak namun Hong Kong tidak memberikan peluang apabila terus melebarkan asakan, sekali gus menamatkan cabaran dengan keputusan 67-8.

Malaysia menambah tiga mata pada minit terakhir perlawanan menerusi penalti yang disempurnakan Rosmanizam Roslan.

Ketua jurulatih ragbi negara, Lee Nyuk Fah berkata banyak perkara perlu dilakukan untuk memperbaiki tahap kemampuan pasukan menentang pasukan yang berpengalaman.

"Pemain bermain dengan baik di babak pertama tetapi mereka tidak dapat mengekalkannya selepas rehat. Tetapi banyak perkara yang perlu dibaiki selepas ini terutama dalam kemahiran dan kecergasan.

"Dalam siri ARC ini, saya rasa kita boleh merapatkan jurang dengan Korea Selatan tetapi masih memerlukan masa untuk berikan saingan kepada Hong Kong. Mungkin dalam masa beberapa tahun lagi," kata Nyuk Fah ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, Nyuk Fah berkata, pasukannya cuba untuk kekal beraksi dalam liga premier kerana dapat bermain dengan pasukan yang lebih baik, sekali gus mampu memantapkan pasukan.

"Kita berazam untuk kekal dalam ARC," katanya.

Minggu lalu, Malaysia tewas kepada Korea Selatan dengan 10-35 pada aksi berlangsung di stadium sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 9:17 PM