PEMAIN Watford, Roberto Pereyra (tiga dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang Newcastle di Stadium Vicarage Road. FOTO Reuters
Reuters

PEMAIN sayap Argentina, Roberto Pereyra meledak gol pembukaan dan turut mengumpan jaringan tatkala Watford menumpaskan Newcastle United 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Kemenangan itu menjamin tempat skuad kendalian Javi Garcia untuk beraksi dalam saingan EPL musim depan.

Watford bermula cemerlang dengan hantaran bijak Abdoulaye Doucoure membolehkan Pereyra yang tidak dikawal menyumbat gol pendahuluan seawal minit kedua.

Pereyra kemudiannya membuat umpanan untuk tandukan gol Andre Gray pada minit ke-28 untuk memastikan tuan rumah terus selesa di depan.

Penyerang Newcastle, Ayoze Perez bagaimanapun menghidupkan semula peluang The Toons apabila menyumbat gol hanya 10 minit selepas bersambung separuh kedua.

Gol itu ternyata membakar semangat skuad bimbingan Rafael Benitez yang mula menggandakan asakan, tetapi Watford berjaya memastikan kemenangan dalam aksi terakhir di laman sendiri pada musim ini.

Watford naik ke tangga ke-13 sebelum aksi terakhir liga menentang Manchester United, sementara Newcastle yang selepas ini bertemu Tottenham berada di kedudukan ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 1:27 AM