AKSI Fabian Delph (kiri) ketika menentang West Ham di Stadium London. - Foto AFP
AKSI Fabian Delph (kiri) ketika menentang West Ham di Stadium London. - Foto AFP
AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola percaya Gareth Southgate mengambil risiko jika tidak menyenaraikan Fabian Delph dalam skuad Piala Dunia England selepas pemain serba boleh itu beraksi cemerlang untuk Manchester City musim ini.

Delph, 28, bangkit daripada tiga musim dibelenggu kecederaan untuk menjadi bek kiri utama Guardiola berikutan kecederaan lutut Benjamin Mendy pada September.

Prestasi semasanya, dan kemampuan beraksi di pelbagai posisi, meletakkan bekas pemain Aston Villa itu sebagai calon utama mengisi skuad kendalian Southgate.

Delph meraih kap kesembilannya pada November 2015, tetapi Guardiola percaya pemainnya itu layak berada dalam skuad terakhir Southgate ke Russia.

“Mungkin ia satu risiko jika tidak membawanya ke Piala Dunia,” kata Guardiola berkenaan Delph. “Hari ini Southgate berada di sini, kami bercakap tentang pemain Inggeris dalam kelab ini.

“Dia gembira dengan kesemuanya - John Stones, Kyle (Walker) dan juga Delph. Saya ingin melihat Fabian Delph di Piala Dunia, namun ia bergantung kepada Gareth, kerana saya rasa dia layak.

“Dia pemain serba boleh, membantu kami bermain dengan cantik, menjadi lebih baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 1:46 PM