REAKSI Nik Akif Syahiran Nik Mat ketika Kelantan meledak gol ketiga pada aksi Liga Super 2018 di Stadium Sultan Mohd Ke IV. - Foto FATHIL ASRI
Attirmidzie Rahman

 

Ketua Jurulatih Kelantan Fajer Ebrahim, menganggap kemenangan pertama diperoleh malam tadi adalah 'Isyarat kebangkitan' pasukannya  bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Skuad The Red Warriors (TRW) yang dibarisi pemain muda malam tadi seolah-olah mendapat suntikan magis Fajer selepas menjinakkan Kuala Lumpur 4-2 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Fajer berkata, perlawanan terbabit dianggap bukti dan balasan setimpal di atas usaha keras pemainnya sepanjang berada di bawah kendaliannya.

"Seperti saya beritahu jika (pemain) selalu berusaha tidak kira ketika di padang latihan atau perlawanan sebenar, kita pasti mendapatkan tiga mata penuh," katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

"Saya berbangga dengan semua pemain kerana bukan senang bagi pemain muda beraksi dalam suasana perlawanan liga utama, sudah pasti mereka akan dibezakan dengan pengalaman.

"Insya-Allah dengan pengalaman saya yang pernah melatih pemain muda di Syria yang kemudian membawa pemain muda ke skuad utama kebangsaan, saya yakin pasukan ini berkembang kerana itu akan diterapkan sepenuhnya dalam pasukan ini.”

Pada aksi malam tadi, sebanyak enam gol terhasil di stadium keramat Kelantan dengan jaringan dihasilkan Nik Azli Nik Alias (m-9); Shafiq Shaharuddin (m-15,68), Nik Akif Syahiran Nik Mat (m-88) sementara gol pelawat dihasilkan Indra Putra Mahyuddin (m-79) dan Zhafri Yahya (m-90).

"Saya bekerja di sini untuk Kelantan, untuk Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan...Dia (Bibi) amat menyokong pasukan dan dia juga seorang presiden bola yang bagus.

"Saya bukan bekerja untuk duit di Kelantan. Apa yang saya mahu adalah memastikan pasukan ini kembali mencipta nama dan memenangi setiap perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 2:00 PM