IZAD HAKIMI JAMALUDDIN
Saiful Affendy Sapran

 

Pertahanan utama skuad hoki negara, Izad Hakimi Jamaluddin mengakui belum pulih sepenuhnya untuk beraksi dalam siri Jelajah Argentina hujung bulan ini selepas tahap pemulihan kecederaannya baru mencapai kira-kira 70 peratus.

Izad ketika ini masih dalam proses pemulihan kecederaan Posterior Cruciate Ligament (PCL) di lutut kanan yang dialami ketika saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Januari lalu.

Bagaimanapun pemain kelahiran Trolak, Perak itu tetap optimis mampu melakukan penampilan semula bersama skuad negara pada siri jelajah Australia yang dijangka berlangsung pada Julai sebelum proses pemilihan ke Sukan Asia di Indonesia sebulan selepas itu.

"Saya rasa tak mungkin akan dapat pergi ke Argentina kerana sedang berada pada fasa proses pemulihan ketika ini,” kata Izad. "Hanya minggu lalu saya dapat menjalani latihan ringan.

“Saya jangkakan akan dapat beraksi semula pada siri jelajah Australia. Saya perlu beraksi di siri itu kerana ia penting untuk merebut tempat beraksi di Sukan Asia, iaitu kejohanan paling utama yang ingin saya beraksi.”

 Izad mengakui bimbang kehilangan tempat untuk beraksi di Sukan Asia selepas tidak beraksi pada perlawanan kompetitif sejak Januari lalu. Setakat ini, Izad sudah terlepas dua kejohanan, iaitu Piala Azlan Shah di Ipoh serta Sukan Komanwel Gold Coast, bulan lalu.

"Memang ada rasa risau sebab barisan pemain muda lain nampaknya dapat beraksi dengan baik," katanya.

Malaysian Tigers meletakkan sasaran memenangi pingat emas di Sukan Asia untuk meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sekali gus menamatkan kemarau gagal layak ke temasya sukan terbesar dunia itu sejak membuat penampilan terakhir pada edisi 2002 di Sydney, Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 2:16 PM