PEMAIN Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Super di Stadium Perak. FOTO Bernama
Azizan Hashim


PERAK melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas menumpaskan Terengganu FC (TFC) 3-2  di Stadium Perak, malam ini.

Dua jaringan Gilmar Jose Da Silva dan Wander Luiz pada babak pertama mencukupi buat Perak melakar kemenangan kelima berturut-turut.

Malah tuan rumah mampu memenangi dengan jurang lebih besar jika menyempurnakan semua peluang mereka pada babak kedua.

Pada perlawanan itu,  anak buah Mehmet Durakovic meledak gol pertama seawal minit ketiga tetapi jaringan Gilmar dibatalkan kerana kekasaran yang dilakukan sebelum itu.

Bagaimanapun dua minit kemudian sepakan lencong Wander Luiz melepasi Mohd Suffian Rahman untuk meletakkan Perak di hadapan pada minit kelima.

Begitupun kedudukan itu hanya bertahan selama enam minit apabila J Partiban menyamakan kedudukan untuk Terengganu pada minit ke-11 tetapi dua minit kemudian pasukan The Bos Gaurus kembali berada di hadapan apabila Gilmar menggegar gawang pelawat dua minit kemudian.

Perak yang mempamer aksi luar biasa malam itu terus menekan dan memperolehi gol ketiga melalui sepakan penalti Gilmar pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Perak meneruskan asakan dan sepatutnya menambah jaringan tetapi hampir separuh peluang diperolehi gagal dimanfaatkan.

Terengganu yang tenggelam dalam arus permainan bagaimanapun bangkit di penghujung perlawanan dan berjaya merapatkan jurang melalui penalti Lee Andrew Tuck pada minit ke-79 tetapi sudah terlambat untuk menafikan kemenangan tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 11:55 PM