MARQUEZ menjuarai perlumbaan MotoGP di Litar Jerez, semalam.
MARQUEZ menjuarai perlumbaan MotoGP di Litar Jerez, semalam.
Reuters

Jerez, Sepanyol: Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez gah menjuarai perlumbaan MotoGP di gelanggang sendiri Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez, semalam sekali gus mengambil alih kedudukan peneraju keseluruhan.

Begitupun, perlumbaan dibayangi dengan insiden membabitkan tiga pelumba, Andrea Dovizioso, Jorge Lorenzo dari Ducati dan rakan sepasukan Marquez, Dani Pedrosa yang ketika itu sedang memburu baki kedudukan podium.

Ketika perlumbaan berbaki lapan pusingan, Lorenzo yang berada di kedudukan ketiga melanggar Pedrosa ketika mengambil selekoh sebelum turut mengheret Dovizioso menyaksikan ketiga-tiganya tidak dapat meneruskan saingan.

Pedrosa yang kurang sebulan menjalani pembedahan pergelangan tangan turut tercampak daripada jenteranya susulan insiden berkenaan.

Insiden itu membuka peluang buat pelumba Yamaha Tech3 dari Perancis, Johann Zarco untuk meraih tangga kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba Suzuki dari Itali, Andrea Iannone.

Marquez yang memulakan perlumbaan di Jerez di petak kelima mengakhiri saingan dengan catatan 41 minit 39.678 saat dan kini mengumpul 70, mata manakala Zarco di tangga kedua (58).

“Saya yakin sebelum perlumbaan yang saya mampu meraih kemenangan,” kata Marquez. “Benar, kami memulakan perlumbaan di barisan kedua tapi apa pun, hari ini saya bijak.

“Saya terus memberi tekanan... di sini perlumbaan amat panjang dan anda perlu menangani banyak perkara.”

Pelumba Yamaha, Valentino Rossi menamatkan perlumbaan di tangga kelima yang menyaksikan legenda Itali itu mencipta sejarah apabila sudah mengharungi 40,075 kilometer perlumbaan sepanjang 23 musim bermula di GP Malaysia pada 1996.

Pelumba Britain dari pasukan LCR Honda, Cal Crutchlow yang memulakan perlumbaan di petak utama gagal untuk menamatkan perlumbaan apabila terjatuh manakala pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakhiri saingan di tangga ke-16.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 10:00 AM