RAJA NURSHEENA RAJA AZHAR
Mohd Khairie Khalid


ATLET olahraga negara, Raja Nursheena Raja Azhar meraih pingat emas dalam acara 100 meter (m) lari berpagar wanita dalam Kejohanan Balapan dan Padang Terbuka Thailand yang berlangsung di Bangkok, hari ini.

Nursheena mencatatkan kepantasan 14.11 saat (s) sekali gus meninggalkan Nur Izlyn Zaini dari Singapura di tempat kedua (14.43s) dan W. V. L Sugandhi yang mewakili Sri Lanka ketiga (14.53s).

“Saya sebenarnya agak kecewa kerana saya sepatutnya boleh melakukan larian yang lebih baik.

“Tapi apa pun saya tetap bersyukur dengan catatan masa ini kerana catatan itu lebih bagus ketika aksi saringan (14.39s) pagi tadi,” kata atlet berusia 27 tahun itu ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Nursheena berkata dia berharap mampu mencipta masa lebih baik dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Catatan peribadi terbaik Nursheena adalah 13.84s ketika memenangi gangsa di Sukan SEA Myanmar 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 7:21 PM