RIBERY menandatangani kontrak lanjutan setahun untuk terus kekal di Bayern Munich sehingga 2019. FOTO/AFP
RIBERY menandatangani kontrak lanjutan setahun untuk terus kekal di Bayern Munich sehingga 2019. FOTO/AFP
AFP

PEMAIN sayap veteran Franck Ribery, 35, menandatangani kontrak lanjutan selama setahun untuk kekal di Bayern Munich sehingga 2019, umum kelab itu hari ini.

“Saya amat gembira dapat bermain setahun lagi di kelab yang hebat ini,” kata Ribery dalam satu kenyataan.

“Sejak sekian lama Munich menjadi rumah saya dan keluarga, jadi saya berbangga dapat bermain dengan jersi FC Bayern musim depan.”

Ribery menyertai Bayern sejak 2007, menjaringkan 80 gol dalam 247 penampilan Bundesliga dan menjuarai gelaran liga Jerman sebanyak lapan kali.

“Kami gembira Franck terus kekal di kelab ini,” kata pengarah sukan Bayern Hasan Salihamidzic.

"Musim ini, Franck  sekali lagi membuktikan kemampuan dan kualitinya di Bundesliga, begitu juga dalam Liga Juara-Juara dan Piala Jerman. 

“Dia juga turut menggembirakan penyokong kami.”

Biarpun mengalami kecederaan lutut pada Oktober yang menyebabkannya tidak beraksi sebanyak 10 perlawanan, Ribery yang bakal berusia 36 tahun sebaik kontraknya tamat, menjaringkan lima gol dalam 19 penampilannya musim ini.

Dia menjadi nadi pasukan ketika Bayern menjulang trebel Bundesliga, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara pada 2013, menyumbang 11 gol dan membantu 23 jaringan dalam 43 perlawanan.

Malah hantaran terakhir Ribery yang dimanfaatkan Arjen Robben untuk gol kemenangan di Wembley apabila Bayern menewaskan Borussia Dortmund 2-1 pada final Liga Juara-Juara tahun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 11:15 PM