PENGENDALI Projek 2020, Nor Saiful Zaini Nasruddin akan pilih 18 pemain ke Antwerp. FOTO Hasriyasyah Sabudin
PENGENDALI Projek 2020, Nor Saiful Zaini Nasruddin akan pilih 18 pemain ke Antwerp. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Naqib Nor Said


SERAMAI 30 pemain akan dipanggil menjalani latihan fasa pertama Skuad Projek 2020 sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Hoki Jemputan Enam Negara Bawah 23 (B-23) Tahun di Antwerp, Belgium dari 14 hingga 22 Julai depan.

Pengendali Projek 2020, Nor Saiful Zaini Nasruddin, berkata daripada senarai itu hanya 20 terbaik akan ke latihan fasa kedua sebelum menggugurkan dua lagi pemain bagi membentuk barisan 18 pemain ke Antwerp.

Katanya, 30 pemain itu dipilih berdasarkan prestasi mereka pada saingan Liga Hoki Remaja Malaysia yang melabuhkan tirainya Ahad lalu.

"Kami sudah mengenal pasti 30 pemain yang boleh beraksi untuk skuad remaja sehingga 2020.

"Pemain seperti Akhimullah (Anuar Esook), Shello Silverius, Amirul Hamizan (Azahar), Sharman (Mat Tee), Azrai Aizad (Abu Kamal), Arif Shafie, Izham Azhar dan Muhammad Nurshahmi (Zulkifli) antara yang berpotensi.

"Kita memang memberi banyak pendedahan kepada pemain ini beraksi dalam pelbagai kejohanan untuk memastikan mereka cukup bersedia untuk Piala Dunia Remaja akan datang," katanya.

Selain tuan rumah Belgium dan Malaysia, kejohanan jemputan itu turut disertai empat jaguh dunia lain iaitu India, Belanda, Great Britain dan Ireland.

Skuad yang kemungkinan besar akan terdiri daripada pemain berusia 19 tahun ke bawah itu kemudiannya dijadualkan beraksi dalam saingan Piala Sultan Johor, Oktober depan.

Saiful yang akan dibantu seorang lagi bekas pertahanan negara, Mohd Madzli Ikmar yang bertindak selaku penolong jurulatih turut memberi bayangan terdapat dua atau tiga pemain luar daripada program Thunderbolts berjaya menambat hatinya kali ini.

"Kami juga mungkin memanggil pemain pasukan MBPJ Tigers dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bentara Luar (Johor) dengan majoriti pemain terpilih berada di bawah program Thunderbolts."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 7:27 PM