KYLE Edmund meraikan kemenangan pada pusingan kedua Terbuka Madrid ke atas bekas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic. Foto REUTERS
Reuters

PEMAIN Britain, Kyle Edmund meraih kejayaan terbaik dalam karier selepas menewaskan bekas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic 6-3, 2-6, 6-3 pada pusingan kedua Terbuka Madrid, awal pagi tadi.

Djokovic, 30, yang juga juara dua kali kejohanan belum lagi menang set penentuan tahun ini selepas tewas di tangan Martin Klizan, Dominic Thiem dan Taro Daniel.

Edmund menang mata penting pada permainan kelapan sebelum tenang mematahkan servis lawan untuk kemenangan ke-14 tahun ini.

"Pengalaman hebat dapat menewaskan Novak, dia legenda dalam sukan ini.

"Inilah masa untuk mencuba dan mengalahkannya. Saya gembira dengan corak permainan saya.” kata Edmund kepada Sky Sports.

HARAPAN Novak Djokovic punah selepas tewas kepada pemain Britain, Kyle Edmund pada pusingan kedua Terbuka Madrid. Foto REUTERS

Pemain nombor 22 dunia itu akan menentang pilihan kelapan dari Belgium, David Goffin di pusingan ketiga.

Djokovic yang mengalami kecederaan siku berpanjangan gagal mara ke peringkat lapan terakhir sejak Kejohanan Wimbledon tahun lalu.

Dia bergelut di atas permukaan tanah liat menjelang Terbuka Perancis dan tersingkir awal di Monte Carlo dan Barcelona bulan lalu.

"Anda boleh lihat ada beberapa perkara tidak kena dengan saya,” kata juara 12 kali Grand Slam itu.

"Tetapi saya akan menyelesaikannya dan berdoa agar prestasi kembali pulih dan semakin kuat.”

Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal merekodkan kemenangan ke-20 di atas tanah liat dalam misi meraih kejuaraan keenam di Madrid dengan menewaskan pemain Perancis, Gael Monfils 6-3, 6-1.

Nadal yang mendapat ‘bye’ di pusingan pertama mencatat 17 kemenangan dan hanya hilang satu daripada 13 mata servis di set kedua sebelum menang.

Pemain Sepanyol berusia 31 tahun itu kini menang 48 set berturut-turut di atas tanah liat, dua set kurang daripada rekod pemain Amerika Syarikat, John McEnroe yang mencatat 49 kemenangan straight sets pada 1984.

Pemain nombor tujuh dunia, Dominic Thiem, pilihan keenam, Kevin Anderson menyertai Nadal dan Edmund ke peringkat 16 terakhir namun pemain tuan rumah, Feliciano Lopez yang bakal menjadi pengarah kejohanan tahun depan tewas di tangan pemain Argentina, Diego Schwartzman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 9:06 AM