GIANLUIGI BUFFON
AFP

JUVENTUS dalam pemburuan kejuaraan liga ketujuh berturut-turut di Stadio Olimpico Ahad ini tetapi lawannya AS Roma bertekad menjadi pengacau dan mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara.

Juventus meraih kejuaraan Piala Itali keempat berturut-turut dengan kemenangan 4-0 ke atas AC Milan di Rome awal pagi semalam dan hanya memerlukan satu mata untuk meraih trofi Scudetto serta melengkapkan kejuaraan berganda buat tahun keempat berturut-turut.

“Scudetto belum milik kami lagi, tapi kami di landasan tepat. Kami semakin hampir,” kata penjaga gol legenda Gianluigi Buffon yang mencatat rekod 300 perlawanan tanpa dibolosi untuk Juventus pada penampilan ke-655 awal pagi semalam.

Roma di tangga ketiga, juga memerlukan satu mata untuk mengesahkan tempat di kejuaraan tertinggi Eropah musim depan dengan pesaing di tangga kelima, Inter Milan ketinggalan empat mata di belakang ketika perlawanan hanya berbaki dua musim ini.

“Bermain untuk seri bukan cara saya,” kata pengendali Roma, Eusebio Di Francesco. “Anda turun ke padang untuk menang.

“Perlawanan boleh saja berakhir dengan seri, tapi saya tidak suka bercakap mengenai kebarangkalian. Saya akan memastikan pemain turun dengan sasaran memungut tiga mata.”

Bagaimanapun, jika Inter tewas di laman sendiri kepada Sassuolo esok, kelompok empat teratas sudah terjamin buat Roma. Lazio di tangga keempat, dua mata di belakang Roma, bertandang ke Crotone yang hanya dua mata di atas zon penyingkiran.

Sementara itu Napoli yang menghuni tangga kedua akan mengunjungi Sampdoria bagi memburu rekod pungutan mata tertinggi kelab dalam semusim, selepas seri 2-2 dengan Torino minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 10:44 AM