PENYERANG PKNP, Clovis Franklin Anzite, (kiri) diasak pemain Kelantan, Mohamad Azwan, pada perlawanan Liga Super 2018, di Stadium Sultan Mohd Ke IV. FOTO/FATHIL ASRI
Hasbullah Ibrahim

KELANTAN gagal menebus kekalahan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) selepas tewas 1-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.

Pada aksi dihadiri kira-kira 13,000 penyokong itu, pengendali Kelantan, Fajer Ebrahim mempertaruhkan kesebelasan sama ketika menewaskan Kuala Lumpur 4-2 dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.

Seawal minit kedua, tuan rumah hampir merobek gawang pelawat selepas bola tolakan Nik Akif Syahiran Nik Mat membuka ruang buat Mohd Danial Ashraf Abdullah membuat rembatan namun sedikit melepasi gawang ketika penjaga gol pelawat, Ahmad Asyraaf Omar tertewas.

Selang dua minit, serangan pantas skuad The Red Warriors (TRW) hampir menemui sasaran selepas hantaran lintang Mohamad Azwan Aripin ditanduk kemas Nik Akif Syahiran Nik Mat namun sedikit tersasar.

TRW berpeluang mencipta jaringan pada minit ke-27 menerusi Shafiq Shaharudin yang bertindak membuat larian solo namun sedikit tersasar walaupun hanya berdepan penjaga pelawat dengan kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat separuh pertama.

Pelawat menghasilkan gol pertama pada minit ke-61 selepas bola hantaran lintang tepat kepada Mohamad Hafiz Ramdan yang tidak dikawal sebelum mudah menolak bola menewaskan Mohammad Fikri Che Soh.

TRW akhirnya berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-74 hasil rembatan deras Mohammad Imran Samso yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat.

PKNP FC pantas menghukum kesilapan penjaga gol tuan rumah yang gagal menangkap kemas bola pada minit ke-83 apabila kapten PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mudah memperdayakan Mohammad Fikri dan melengkapkan kemenangan PKNP FC 2-1 di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 1:12 AM