PENYERANG Chelsea, Olivier Giroud (tengah) menjaringkan gol ketika saingan dengan Liverpool pada 6 Mei lalu. FOTO AFP
Agensi

 

DUA isu utama yang membelenggu Liga Perdana Inggeris bakal dimuktamadkan pada pusingan akhir liga berkenaan malam ini.

Liverpool dan Chelsea masing-masing berharap dapat menempah tiket terakhir ke Liga Juara-Juara musim depan dengan penentuan tangga keempat.

Skuad Liverpool kendalian Juergen Klopp ketika ini berada di posisi berkenaan, dua mata mengatasi anak buah Antonio Conte.

Swansea atau Southampton pula akan menentukan siapa bakal tersingkir yang kemungkinan besar bakal menimpa Swans apabila ketinggalan tiga mata dan kurang 11 gol berbanding Saints.

Kesemua 10 perlawanan berlangsung 10 malam ini.

Manchester City pula sekiranya menang ke atas Southampton, akan menyempurnakan musim cemerlang mereka, bukan saja menjulang kejuaraan tetapi menjadi pasukan pertama Liga Perdana Inggeris yang mengumpul 100 mata.

Pada masa sama Liverpool berada pada kedudukan terbaik untuk menamatkan saingan musim ini di tangga keempat.

Kegagalan Chelsea menewaskan Huddersfield di laman sendiri Khamis lalu dan jurang gol besar dimiliki Reds bermakna skuad kendalian Klopp hanya memerlukan satu mata ke atas Brighton untuk mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

Liverpool turut berpeluang mara ke tangga ketiga jika mereka menang dan Tottenham gagal menewaskan Leicester di laman sendiri.

Jika Chelsea mahu berada di tangga keempat, mereka perlu menewaskan Newcastle di St James’ Park dan berharap Liverpool tewas. Jika tidak, aksi Liga Europa menanti Blues musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 3:59 PM