JURULATIH Korea Selatan, Shin Tae-yong mengumumkan senarai 28 pemain yang beraksi di Piala Dunia Russia. FOTO AFP
AFP

PENYERANG Tottenham Hotspur, Son Heung Min mengetuai senarai awal 28 pemain Korea Selatan ke Piala Dunia Russia yang diumumkan jurulatih, Shin Tae Yong, hari ini.

Senarai itu termasuk 12 pemain pertahanan dalam usaha Korea mengukuhkan kerapuhan bahagian belakang pasukan benua Asia itu.

Bintang Spurs, Heung Min disenaraikan bersama pemain kelab yang baharu tersingkir dari Liga Perdana Inggeris, Swansea City, Ki Sung Yueng selain pemain FC Augsburg, Koo Ja Cheol ketika Tae Yong menyenaraikan ramai pemain senior berpangkalan di Eropah.

Pasukan yang diberi julukan Taeguk Warriors itu mara ke separuh akhir Piala Dunia ketika Korea Selatan menjadi tuan rumah bersama Jepun pada 2002 tetapi pada kempen kali ini, mereka bergelut di peringkat kelayakan dan diundi bersama Sweden, Mexico dan penyandang juara, Jerman dalam Kumpulan F.

Heung Min yang dilabel pemain utama Korea, menjaringkan 18 gol dalam semua pertandingan buat Spurs musim ini dengan kelab dari London itu menamatkan saingan di tangga ketiga dan mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Tae Yong dalam pada itu turut membuat kejutan apabila menyenaraikan pemain yang tidak pernah beraksi bersama skuad kebangsaan iaitu pemain Hellas Verona, Lee Seung Woo dalam senarai awal sebelum ia dicantas kepada 23 pemain pada 4 Jun depan.

Selepas sering mengadu mengenai kekurangan pemain di benteng pertahanan susulan kecederaan, Tae Yong yang juga bekas pemain kebangsaan menyenaraikan 12 pertahanan dalam senarai awal.

Sejak dilantik mengemudi skuad kebangsaan pada Julai tahun lalu dan mengharungi 14 perlawanan berikutan pemecatan Uli Stielike, Korea Selatan sudah menjaringkan 20 gol tetapi turut melepaskan 19 jaringan.

“Ada sebab mengapa saya menyenaraikan begitu ramai pertahanan,” kata Tae Yong kepada wartawan di Seoul.

“Ketika ini, membentuk barisan pertahanan adalah perkara paling sukar bagi saya.

“Ada beberapa perkara yang saya mahu lakukan dengan pertahanan kami, tapi saya fikir saya tidak boleh melakukannya,” katanya dengan hanya sembilan pemain daripada Piala Dunia 2014 berada dalam senarai kali ini.

Skuad Korea Selatan

Penjaga gol: Kim Seung Gyu (Vissel Kobe/JPN), Kim Jin Hyeon (Cerezo Osaka/JPN), Cho Hyun Woo (Daegu FC)

Pertahanan: Kim Young Gwon (Guangzhou Evergrande/CHN), Jang Hyun Soo (FC Tokyo/JPN), Jung Seung Hyun (Sagan Tosu/JPN), Yun Yong Sun (Seongnam FC), Kwon Kyung Won (Tianjin Quanjian/CHN), Oh Ban Suk (Jeju United), Kim Jin Su (Jeonbuk Hyundai Motors), Kim Min Woo (Sangju Sangmu), Park Joo Ho (Ulsan Hyundai), Hong Chul (Sangju Sangmu), Go Yo Han (FC Seoul), Lee Yong (Jeonbuk Hyundai Motors)

Tengah: Ki Sung Yueng (Swansea City/WAL), Jung Woo Young (Vissel Kobe/JPN), Kwon Chang Hoon (Dijon FCO/FRA), Ju Se Jong (Asan Mugunghwa FC), Koo Ja Cheol (FC Augsburg/GER), Lee Jae Sung (Jeonbuk Hyundai Motors), Lee Seung Woo (Hellas Verona/ITA), Moon Seon Min (Incheon United), Lee Chung Yong (Crystal Palace/ENG)

Penyerang: Kim Shin Wook (Jeonbuk Hyundai Motors), Son Heung Min (Tottenham Hotspur/ENG), Hwang Hee Chan (FC Red Bull Salzburg/AUT), Lee Keun Ho (Gangwon FC) - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 2:25 PM