KETUA Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaqouim Maciel Da Silva. FOTO Ramdzan Masiam
Syafiq Aznan


JURULATIH Kuala Lumpur, Fabio Maciel enggan mempertikaikan dua sepakan penalti yang dihadiahkan kepada PKNS FC ketika mereka tewas 3-2 dalam aksi Liga Super malam tadi, sekali gus meneruskan rekod buruk di tempat lawan.

Menurut pengendali kelahiran Brazil itu, beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan balas mengenai dua sepakan penalti yang dilihat agak meragukan itu, namun akan meneliti semula menerusi rakaman video selepas ini.

"Bagi penalti yang pertama, saya tidak tahu sama ada kekasaran berlaku di dalam atau luar kotak penalti manakala penalti kedua pula, saya tidak nampak apa sebenarnya yang berlaku kerana ia berlaku terlalu jauh dari kedudukan saya.

"Bagaimanapun, pengadil perlawanan sudah membuat keputusan dan jika dia mengambil keputusan sedemikian, sudah tentu kerana dia berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding saya," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, skuad 'The Hawks' gagal mengulangi magis yang dilakar di tempat sendiri apabila tumbang 2-3 di tangan PKNS FC meskipun mendahului seawal minit keempat menerusi sentuhan Bobirjon Akbarov.

Namun, dua sepakan penalti yang disudahkan Safee Sali dan Jonatan Leonel Acosta serta jaringan solo Faris Ramli meranapkan impian mereka untuk bangkit walaupun berjaya mengurangkan defisit menerusi jaringan Guilherme de Paula pada masa tambahan separuh masa kedua.

Mengulas lanjut prestasi buruk anak buahnya di tempat lawan, Maciel mengakui ia tidaklah seburuk yang disangkakan dengan dia tetap meletakkan kepercayaan kepada kemampuan mereka untuk bangkit pada aksi seterusnya.

"Jika hendak dinilai berdasarkan persembahan malam ini (malam tadi), anak buah saya beraksi dengan lebih baik berbanding PKNS FC di mana kita lebih banyak melakukan percubaan dan memberi tekanan kepada lawan sepanjang perlawanan.

"Cuma beberapa kesilapan yang menafikan kami daripada memperoleh keputusan positif. Keputusan sebegini tidak menggambarkan kemampuan sebenar pasukan. Segala-galanya baik namun hanya keputusan tidak berpihak kepada kami," katanya.

Berdasarkan rekod, selepas mengharungi lima aksi Liga Super yang berlangsung di laman lawan setakat ini, Kuala Lumpur terus kempunan untuk meraih kemenangan apabila tewas kelima-lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 4:57 PM