PENGENDALI PKNS FC, Datuk K Rajagobal. FOTO Nadim Bokhari
Syafiq Aznan


PENGENDALI PKNS FC, Datuk K Rajagobal tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang memberikan 'gol percuma' kepada Kuala Lumpur sekali gus membolehkan lawan mengurangkan defisit kepada 3-2 pada aksi Liga Super, malam tadi.

Skuad Semut Merah dilihat hampir menamatkan perlawanan dengan kelebihan dua gol, namun kelekaan di hujung perlawanan membolehkan Guilherme de Paula meledak gol kedua pelawat sebelum PKNS FC  menarik nafas lega selepas lawan tidak mempunyai masa mencukupi untuk memburu gol penyamaan.

"Saya begitu kecewa apabila dibolosi pada minit akhir. Pemain harus tahu dalam bola sepak tidak kira minit akhir perlawanan atau masa tambahan, mereka perlu kekal fokus sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Pada pandangan saya, gol kedua itu kami hadiah kepada lawan. Ia tidak sepatutnya berlaku namun itulah realitinya. Jadi, perkara ini perlu menjadi pengajaran buat pemain supaya ia tidak berulang," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, PKNS FC berjaya melunaskan 'hutang' ke atas Kuala Lumpur apabila membenam lawan itu 3-2 sekali gus menebus kekecewaan selepas tewas 1-2 pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum ini.

Bagaimanapun, pelawat mendahului seawal minit keempat menerusi Bobirjon Akbrarov, namun dua sepakan penalti yang disempurnakan Safee Sali dan Jonatan Leonel Acosta serta jaringan solo Faris Ramli menjadikan keputusan 3-1 sebelum jaringan sagu hati Guilherme de Paula di hujung permainan.

Mengulas lanjut, Rajagobal mengakui terdapat peningkatan yang ditunjukkan anak buahnya, namun ia masih belum cukup bagus dengan banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk terus memberi cabaran kepada pasukan lain.

"Jika hendak dibandingkan dengan perlawanan sebelum ini memang ada peningkatan namun bukan yang sebenarnya seperti aksi pada pembukaan liga dahulu. Ada intensiti yang baik namun ia tidak seperti yang saya mahukan.

"Saya sering memberitahu pemain mereka perlu meningkatkan lagi intensiti, lebih agresif dan lebih pantas untuk setiap keputusan yang mahu dibuat untuk mengelirukan lawan tanpa mengira sama ada ketika menyerang balas atau merangka serangan daripada bawah.

"Memang bagus dapat meraih tiga mata namun ada kalanya, kami kehilangan fokus sehingga kami bermain dengan negatif khususnya pada separuh masa kedua. Jika beberapa peluang disempurnakan sudah tentu kita tidak akan berada dalam tekanan pada perlawanan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 6:13 PM