WENDY NG YAN YEE
Mohd Khairie Khalid


PENERJUN negara, Wendy Ng Yan Yee berharap dapat membuat penampilan sulung dalam kejohanan antarabangsa pada Piala Dunia FINA 2018 di Wuhan, China dari 5 hingga 10 Jun ini selepas lapan bulan digantung.

Menurut penerjun berusia 25 tahun itu, dia berharap mampu memperagakan terjunan terbaik dalam sesi latihan hampir sebulan di China, bermula esok sekali gus mampu memikat jurulatih untuk menyenaraikannya beraksi di Wuhan. 

“Saya sudah mula menjalani latihan di gimnasium dan kolam sejak 26 April lalu. Saya masih belum berada di dalam Program Podium tetapi Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menyenaraikan saya dalam pasukan.

“Jadi, saya akan ke China bersama penerjun lain esok untuk persiapan Piala Dunia. Harapan saya agar semua berjalan lancar kerana ia akan menjadi medan pemilihan ke Wuhan dan berharap saya mampu membuat penampilan sulung di sana,” katanya hari ini.

Pada Mac lalu, Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen mengesahkan Wendy yang positif  sibutramine di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hanya dikenakan penggantungan selama lapan bulan oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Penggantungan itu berkuat kuasa pada 26 Ogos 2017 iaitu tarikh sampel B diambil dengan hukuman berkenaan tamat 26 April lalu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 9:39 PM