NAKAJIMA (tengah) ketika beraksi bersama Terengganu. -Foto fail

PAHANG mengesahkan dua pemain import, Austin Amutu dan Issey Nakajima menjadi nadi baharu skuad itu bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Amutu, 23 yang berasal dari Nigeria dan Nakajima, 34, kelahiran Kanada, masing-masing memperkasakan skuad Tok Gajah sebaik jendela perpindahan dibuka.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Mohamed berkata, kedua-dua pemain import itu menggantikan Francis Forkey Doe dan Chan Vathanaka yang diketepikan atas faktor kecederaan dan prestasi.

“Oleh itu, kehadiran Amutu dan Nakajima diyakini akan membantu membentuk kembali jentera pasukan yang lebih mantap dan Tok Gajah boleh kembali berada pada prestasi terbaik.

“Berbekalkan pengalaman dimiliki mereka kerana pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia, ia diharap memberi kesan positif,” katanya.

Menerusi pengesahan itu, Pahang yang dibimbing Dollah Salleh turut memiliki tiga lagi pemain import iaitu Patrick Cruz dari Brazil, Mohamadoe Sumareh (Gambia) dan Safuwan Baharudin (Singapura).

Mohammed Suffian berkata, kemasukan Amutu yang pernah menyarung jersi Kelantan diharap dapat menajamkan lagi jentera serangan dengan bergandingan bersama Cruz.

Katanya, kecederaan serius dialami Forkey Doe ternyata memberi impak dalam pasukan di bahagian serangan dan kehadiran Amutu diharap membantu memperkasakan pasukan untuk meraih kejayaan buat pasukan.

“Nakajima yang menggantikan tempat Vathanaka pula dapat membantu memperkemaskan jentera tengah iaitu bergandingan dengan Sumareh dan pemain tempatan,” katanya.

Selepas 10 perlawanan, Pahang menduduki tangga ketiga dengan mengutip 18 mata manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) selesa sebagai peneraju liga dengan 25 mata dan Perak pula 20 mata di tangga kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 10:31 PM