PEMAIN TFC II, Muhammad Radhi Mohd Yusof (dua dari kanan) menanduk bola dihadapan pintu gol pasukan PDRM pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto GHAZALI KORI
Faizul Azlan Razak


 

TERENGGANU FC II (TFCII) tersungkur di laman sendiri selepas dikecewakan 1-2 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Tuan rumah bermula garang menerusi tandukan Andrew Anderson Jean Baptiste yang tepat ke dakapan penjaga gol PDRM, Mohd Sheril Anuar Saini pada minit ketujuh.

Giliran pelawat mencemaskan gawang tuan rumah menerusi percubaan penyerang importnya, Shim Un-seob pada minit ke-15 disusuli sepakan percuma yang diselamatkan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin pada minit ke-25.

Dua minit berselang, penyerang kelahiran Korea Selatan itu terus buntu menjaringkan gol apabila Mohd Suhaimi tangkas menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Tuan rumah terpaksa mengeluarkan pemain import kelahiran Korea Selatan, Lee Jun Hyeob akibat kecederaan dan digantikan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-33.

Bersambung babak kedua, PDRM kehilangan kapten mereka, Mohd Fauzi Abd Majid selepas  mengalami kecederaan.

Skuad jolokan The Cops akhirnya membuka jaringan menerusi awang import kelahiran Jepun, Shunsuke Nakatake yang melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-74.

Begitupun, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Akanni Sunday Wasiu yang meledak dari dalam kotak penalti pada minit ke-85.

Pada minit 90, pelawat menjaringkan gol kemenangan menerusi Un-seob selepas berlaku kekalutan di depan gawang berpunca sepakan percuma yang dilakukan Hazwan Fakhrullah Mohd Nazri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 12:03 AM