SUNG Yueng tinggalkan Swansea. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Pemain tengah Ki Sung Yueng meninggalkan Swansea City susulan kegagalan kelab Wales itu kekal dalam Liga Perdana Inggeris, menurut pemain kebangsaan Korea Selatan itu dalam media sosial, semalam.

Swansea tersingkir ke Liga Kejuaraan (divisyen dua) selepas kalah 1-2 di tangan Stoke City Ahad lalu, menamatkan tempoh tujuh musim beraksi dalam liga utama Inggeris itu.

“Satu penghormatan besar bermain buat Swansea selama lima tahun,” tulis Sung Yueng dalam Instagram. “Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong Swansea yang sering memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada kami dalam setiap perlawanan.”

Pemain berusia 29 tahun itu memohon maaf kepada penyokong kelab itu berikutan aksi tidak konsisten sepanjang dua musim terakhir dan berasakan Swansea akan bangkit musim depan.

Sung Yueng menyertai Swansea dari kelab Scotland, Celtic pada 2012, melakukan 160 penampilan dalam semua pertandingan dan menjaringkan 12 gol.

Dia mengikut jejak langkah pemain tengah Leon Britton dan pertahanan Angel Rangel, kedua-duanya mengumumkan mereka akan meninggalkan kelab itu awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 11:34 AM