BEKAS kapten Kelantan, Badhri Radzi. FOTO Syamsi Suhaimi
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my


BEKAS kapten Kelantan, Badhri Radzi mungkin menghabiskan baki Liga Malaysia musim ini tanpa pasukan selepas diketepikan bersama beberapa pemain senior oleh jurulatih, Fajer Ebrahim.

Selepas lebih seminggu pintu perpindahan kedua dibuka mulai 7 Mei lalu,  Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya, mengakui belum ada pasukan yang melamarnya malah usahanya menawarkan khidmat kepada sebuah pasukan Liga Perdana belum menerima sebarang maklum balas.

Situasi itu meletakkan dirinya dalam keadaan tertekan terutama selepas tidak dibenarkan menjalani latihan bersama The Red Warriors walaupun masih mempunyai kontrak sehingga penghujung musim ini.

“Sudah seminggu tapi masih tidak nampak bayang pasukan yang berminat terhadap saya. Sudah tentu situasi ini sesuatu yang membimbangkan.

“Saya ada berhubung dengan seorang jurulatih untuk menawarkan khidmat saya. Beliau berjanji akan memberi jawapan tapi sehingga hari ini, saya masih menanti,” katanya.

Piya mengakui agak sukar mendapatkan pasukan pada pertengahan musim kerana kebanyakan pasukan sudah lengkap malah lebih menumpukan perhatian untuk merombak barisan pemain import berbanding tempatan.

Menurut Piya, jika keadaan ini berterusan, dia tidak mempunyai pilihan kecuali menunggu sehingga kontraknya tamat pada penghujung November ini sebelum berusaha mencari pasukan baharu.

“Kalau tidak ada pasukan yang mahukan saya, terpaksalah saya terus bersama Kelantan walaupun sudah tidak ada dalam senarai serta tidak dibenarkan berlatih bersama pasukan,” kata Piya.

Difahamkan, Piya bersama beberapa pemain yang diketepikan seperti Morgaro Gomis, Do Dong-hyun dan Amiridzwan Taj Tajuudin kini menjalani latihan secara berasingan pada sebelah pagi berbanding pasukan Kelantan yang berlatih pada petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 2:32 PM