MANUEL NEUER
AFP

WALAUPUN cedera namun Manuel Neuer tetap disenaraikan dalam skuad 27 pemain Jerman bagi menghadapi Piala Dunia tetapi tiada tempat untuk penjaring gol kemenangan edisi 2014 di Brazil, Mario Goetze.

Neuer yang juga kapten dan penjaga gol Jerman tidak beraksi sejak September dan masih perlu membuktikan tahap kecergasannya pada latihan pusat selama dua minggu di Utara Itali yang akan bermula minggu depan.

Pemain Bayern Munich berusia 32 tahun itu adalah salah seorang daripada empat penjaga gol yang disenaraikan ketua jurulatih, Joachim Loew yang akan memendekkan senarai kepada 23 pemain bagi beraksi di Russia yang bermula pada 14 Jun.

“Menuel sudah kembali menjalani latihan penuh minggu ini bersama Bayern, dan itu membuatkan kami percaya dia boleh mengikuti latihan penuh sepanjang latihan pusat.

“Selepas itu kami akan berbincang dengannya sama ada dia boleh atau tidak beraksi di Piala Dunia,” kata Loew.

Sementara itu, tiada tempat untuk Goetze yang menjaringkan gol kemenangan pada aksi final Piala DUnia 2014 dalam skuad bimbingan Loew selepas prestasi hambar bersama Borussia Dortmund.

Selain itu, tidak disenaraikan penyerang, Sandro Wagner yang menjadi pengganti kepada Robert Lewandowski di Bayern yang turut membantu Jerman memenangi Piala Konfederasi di Russia tahun lalu.

Jerman bagaimanapun menyenaraikan Mesut Ozil dan Ilkay Gundogan biarpun hubungan kedua-dua pemain berkenaan tegang dengan Persatuan Bola Sepak Jerman selepas bergambar bersama Recep Tayyip Erdogan.

Jerman akan membuka tirai saingan Piala Dunia 2018 menentang Mexico di Moscow pada 17 Jun. Selain itu mereka turut akan menentang Korea Selatan dan Sweden dalam Kumpulan F.

SKUAD JERMAN

Penjaga gol: Bernd Leno (Bayer Leverkusen), Manuel Neuer (Bayern Munich), Marc-Andre ter Stegen (Barcelona/ESP), Kevin Trapp (Paris Saint-Germain/FRA)

Pertahanan: Jerome Boateng (Bayern Munich), Matthias Ginter (Borussia Moechengladbach), Jonas Hector (Cologne), Mats Hummels (Bayern Munich), Joshua Kimmich (Bayern Munich), Marvin Plattenhardt (Hertha Berlin), Antonio Ruediger (Chelsea/ENG) Niklas Suele (Bayern Munich), Jonathan Tah (Bayer Leverkusen)

Tengah/Penyerang: Julian Brandt (Bayer Leverkusen), Julian Draxler (Paris Saint-Germain), Mario Gomez (VfB Stuttgart), Leon Goretzka (Schalke 04), Ilkay Gundogan (Manchester City/ENG), Sami Khedira (Juventus/ITA), Toni Kroos (Real Madrid/ESP), Thomas Mueller (Bayern Munich), Mesut Ozil (Arsenal/ENG), Nils Petersen (Freiburg), Marco Reus (Borussia Dortmund), Sebastian Rudy (Bayern Munich), Leroy Sane (Manchester City/ENG), Timo Werner (RB Leipizg)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 9:28 PM