PEMAIN Selangor, Willian Silva Costa Pacheco (kanan) beraksi ketika pasukan mereka bertembung dengan pasukan JDT di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras. FOTO Supian Ahmad
Aziman Rosdi


PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) tidak bercadang melakukan pertukaran pemain import pada jendela perpindahan pemain kedua meskipun prestasi lima pemain import kecuali penyerang Rufino Segovia, dilihat kurang menyerlah.   

Selangor membawa masuk empat pemain import baharu musim ini iaitu Alfonso de la Cruz (Sepanyol), Willian Pachecho (Brazil), Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn (Indonesia) manakala Segovia (Sepanyol) sudah bersama tahun lalu.   

Bagaimanapun, selepas 10 perlawanan Liga Super, impak yang diberikan khususnya pemain tengah bertahan Cruz dan pemain sayap Ilham kurang berkesan sekali gus mengundang rasa tidak puas hati penyokong Red Giants.   

Berdasarkan jendela perpindahan pemain kembali dibuka sehingga 3 Jun ini, ramai penyokong mengharapkan akan berlaku perubahan dalam barisan pemain namun ia dijangka tidak berlaku.   

Ini kerana, dengan beban kewangan pasukan, FAS perlu berhati-hati dalam melakukan rombakan drastik.   

"Buat masa ini, pihak pengurusan belum bercadang untuk menukar pemain import. Bukan mudah untuk menggantikan pemain import kerana ini akan membabitkan perbelanjaan besar.   

"Pihak pengurusan melihat aksi yang dipamerkan pemain import tidak begitu teruk, lihat saja aksi terakhir menentang JDT (Johor Darul Ta'zim), kami berjaya memberikan saingan.    

"Berdasarkan pemain import yang ada sekarang, Selangor menduduki tangga kelapan dan berjaya ke separuh akhir Piala FA, jadi kami masih menaruh kepercayaan kepada pemain yang sedia ada sekarang," kata Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim.   

Selangor yang dibimbing jurulatih Nazliazmi Mohd Nasir banyak bergantung kepada sumbangan Segovia yang kini menjadi penjaring terbanyak liga dengan lapan gol.   

Namun, Ilham dan Evan yang turut bermain di bahagian atas masih ketandusan jaringan dalam kempen liga manakala Cruz ditukarkan ke posisi pertahanan tengah bergandingan dengan Pachecho.

    

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 5:16 PM