(DARI kiri) Sharapova, Halep dan Wozniacki mara suku akhir. FOTO/AFP
AFP

ROME: Pemain nombor dua dunia, Caroline Wozniacki memerlukan tiga set untuk melepasi halangan pemain Latvia, Anastasija Sevastova sebelum melangkah ke suku akhir tenis Terbuka Itali, pagi tadi.

Wozniacki - pemain pilihan kedua kejohanan menang 6-2, 5-7, 6-3 ke atas pemain ranking ke-20, Sevastova untuk melangkah ke kelompok lapan terbaik di Rome, sejak kali terakhir melakukannya pada musim 2011.

Dia dijadualkan berdepan pemain Estonia, Anett Kontaveit yang turut layak selepas mencipta kejutan menumbangkan Venus Williams, buat kali kedua dalam tempoh seminggu selepas kejohanan di Madrid, Sepanyol.

Kontaveit, 22, menang 6-2, 7-6 (7/3) ke atas pemain berusia 37 tahun dari Amerika Syarikat (AS) itu yang juga pemain pilihan kelapan. Venus pernah muncul juara di situ pada tahun 1999.

Dalam perlawanan lebih awal, Simona Halep menghidupkan peluang untuk mengekalkan status pemain nombor satu dunia selepas pilihan utama itu layak ke suku akhir apabila lawannya dari AS, Madison Keys menarik diri akibat kecederaan.

Finalis tahun lalu dari Romania ini bakal berdepan cabaran pemain Perancis, Caroline Garcia yang mengenepikan juara Terbuka AS, Sloane Stephens 6-1, 7-6 (9/7).

Halep perlu mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir untuk mengatasi saingan terdekat, Wozniacki di ranking nombor dua dunia, selepas pemain itu meraih banyak mata dengan beraksi cemerlang di Terbuka Perancis.

Juara tiga kali, Maria Sharapova pula menang ke atas Daria Gavrilova 6-3, 6-4 dan bakal berdepan pilihan kelima yang juga juara Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko yang menumbangkan cabaran pemain Britain, Johanna Konta dengan kemenangan 2-6, 6-3, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 8:58 AM