PEMANGKU Setiausaha Persatuan Angkat Berat Malaysia, Abu Hanapah Ismail. FOTO Owee Ah Chun


PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) mungkin berdepan digantung oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) jika gagal mengatasi masalah penyalahgunaan bahan terlarang atau dadah perangsang (anabolik steroid) dalam kalangan atlet angkat berat negara.

Pemangku setiausahanya, Abu Hanapah Ismail, tidak menolak kemungkinan PABM akan digantung keahlian IWF sekiranya ada lagi kes atlet angkat berat Malaysia dikesan positif menggunakan bahan terlarang atau dadah perangsang ketika menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa, pada masa depan.

Justeru, Abu Hanapah menegaskan PABM kini bekerjasama dengan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) bagi memastikan semua atlet berat kebangsaan yang sedang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) bebas daripada masalah penyalahgunaan bahan terlarang.

"Ketika ini kita masih menunggu keputusan sampel B yang dihantar tiga atlet angkat berat Malaysia iaitu Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd Nordin dan Ronny Jesos, yang dikesan positif  bakal dadah perangsang jenis Stanozolol ketika menjalani ujian air kencing yang dijalankan secara rambang oleh IWF di pada 28 Mac lalu.

"Jika keputusan sampel B yang bakal diumumkan selewat-lewatnya 31 Mei ini positif maka mereka terpaksa membela diri dan mungkin berdepan hukuman penggantungan maksimum untuk kesalahan kali pertama, seperti garis panduan ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA)," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini media melaporkan sukan angkat berat negara terus dipalit kontroversi dan mengaibkan apabila IWF mengesahkan Muhamad Hakimie, Muhamad Zaidi dan Ronny positif doping ketika menjalani ujian saringan rambang, pada 28 Mac lalu.

Terdahulu, media melaporkan kejayaan skuad angkat berat negara meraih dua emas dan satu gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 tercemar apabila seorang atletnya yang beraksi pada temasya kedua terbesar dunia itu, disahkan positif bahan terlarang, sekali gus menyebabkan kemungkinan pingat gangsa diraih Mohamad Fazrul Azrie Mohdad, akan ditarik balik

Dalam pada itu, Abu Hanapah mengesahkan PABM sudah kenal pasti senarai awal lima atlet angkat berat termasuk dua pemenang pingat emas di Sukan Komanwel Gold Coast yang bakal disenarai pendek oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan MSN mewakili Malaysia ke Sukan Asia nanti. 

"Kita juga akan perketatkan saringan doping terhadap semua atlet angkat berat yang bakal beraksi di luar negara bagi memastikan tiada lagi kes penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan badang negara, pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 6:02 PM