PEMAIN Perlis yang beraksi dalam saingan Liga FAM. FOTO Amir Irsyad Omar
Muhammad Mustakim Ramli

 

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Perlis (PFA) tidak akan menarik diri dari saingan Liga FAM walaupun berdepan kemelut kewangan yang melanda pasukan Singa Utara itu.

Naib Presiden PFA 3, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan, berkata pihaknya juga akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

"Kita tidak akan menarik diri.. Perlis sudah memasuki pusingan kedua liga, malah pasukan presiden dan pasukan belia juga sudah memasuki pusingan kedua. 

"Kita akui berdepan kekangan kewangan ditambah pula Ir Shaharudin Ismail meletak jawatan sebagai Presiden awal bulan ini tetapi itu bukan faktor untuk menarik diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mencari jalan bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain bagi bulan Mac dan April serta tunggakan gaji bekas pemain musim lalu.

"Saya sudah menghubungi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menerangkan situasi sedang kita hadapi. Kita sedang mencari peruntukkan, selain turut menanti Menteri Besar Perlis yang baru bagi berbincang dan mencari kaedah untuk menyelesaikan masalah ini.

"Untuk makluman kita juga perlu menanggung tunggakan gaji bekas pemain yang sepatutnya diselesaikan pihak pengurusan yang lama. Walaupun mereka yang perlu bertanggungjawab menyelesaikannya, kita akan memastikan tunggakan gaji bekas pemain juga akan diselesaikan," katanya.

Jawatankuasa FAM semalam mengarahkan PFA menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM182,000 yang dituntut pemain mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 1:58 PM