PEMAIN Chelsea, Alvaro Morata bakal kembali ke Itali. FOTO Agensi
Agensi

JUVENTUS melakukan persediaan untuk membawa Alvaro Morata kembali ke Serie A selepas mengharungi musim pertama yang sukar di Chelsea.

Morata memulakan kehidupan di Stamford Bridge dengan cara prolifik selepas perpindahannya dari Real Madrid pada musim panas lalu, menjaringkan enam gol dalam enam penampilan pertama, namun bergelut untuk mengekalkan prestasinya.

Ketibaan Olivier Giroud membawa persaingan baru buat pemain Sepanyol itu yang menyaksikan dia lebih kerap berada di bangku simpanan.

The Independent melaporkan Massimiliano Allegri berminat untuk menawarkan Morata laluan keluar dari barat London dan kembali ke Turin.

Morata menghabiskan dua musim di Serie A bersama Juventus, menjaringkan 27 gol dalam 93 perlawanan di semua pertandingan.

Bagaimanapun, Allegri yang komited untuk kekal bersama bersama juara Itali itu walaupun Chelsea dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya, sedang berusaha untuk memperbaiki skuad dengan melihat untuk mencabar kejuaraan Liga Juara-Juara musim depan.

Juventus perlu memanfaatkan prestasi tidak menentu Chelsea yang akan mencari pengurus baru dengan Antonio Conte berkemungkinan bakal ‘angkat kaki’.

Laporan di Itali bagaimanapun mencadangkan perpindahan buat Morata perlu bersifat sementara dalam bentuk pinjaman, sama seperti tempoh sementara dua tahun Juan Cuadrado di Juventus sebelum perpindahan kekal pada 2017.

Perjanjian kali ini mungkin sukar untuk dimuktamadkan dengan Chelsea membayar jumlah besar untuk mendapatkan pemain berusia 25 tahun. Morata menandatangani perjanjian selama lima tahun dengan Chelsea bernilai £70 juta (RM374 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 2:36 PM