REZAL ZAMBERY YAHYA
Aziman Rosdi


PRESIDEN Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya mengingatkan pihak pengurusan Kuantan FA agar menghormati keputusan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membabitkan bayaran tuntutan tunggakan gaji pemain seperti yang diarahkan.

Katanya, adalah tidak adil untuk menjadikan pemain sebagai mangsa pertelingkahan antara badan induk itu dengan Kuantan FA.

“PFAM sebagai wakil pemain sudah membuat tuntutan dan keputusan Jawatankuasa Status FAM sudah dikeluarkan jadi semua pihak perlu menghormati keputusan itu.

“Apa yang kita mahukan sekarang adalah perkara ini diselesaikan dan pemain mendapat hak mereka semula. Semua pemain ini mengikat kontrak yang sah jadi FAM sebagai badan induk harus bijak untuk menyelesaikannya. Kita tak mahu rasa tidak puas hati antara Kuantan FA dan FAM, pemain jadi mangsa,” kata Rezal.

Sukan NSTP semalam melaporkan rasa tidak puas hati Timbalan Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihin Wan Hassan terhadap keputusan Jawatankusa Status FAM yang mengarahkan mereka membayar tunggakan gaji 24 pemain lebih RM762,000 dalam tempoh 30 hari.

Beliau beranggapan keputusan itu tidak logik memandangkan kelab Liga Perdana itu sudah digugurkan daripada Liga Malaysia (Liga-M) pada 21 April lalu dan sudah tidak memiliki sumber kewangan.

Malah Solihin turut menyalahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang tidak memberi masa untuk mereka mendapatkan penaja baru sebelum mereka disingkirkan.

Menurut Rezal, beliau berharap isu ini tidak berlarutan memandangkan ia membabitkan periuk nasi pemain.

“Ada pemain Kuantan FA yang sudah tidak bekerja kerana tidak mempunyai pasukan baru. Jadi perlu ada jalan penyelesaikan dan ahli gabungan seharusnya menghormati keputusan FAM itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 9:27 PM