MORATA (kanan) terpaksa diketepikan selepas aksi mengecewakan musim ini. -Foto Agensi
AFP

PENYERANG Chelsea Alvaro Morata diketepikan daripada skuad Sepanyol ke Piala Dunia, hari ini.

Morata menerima padah atas kempen sulung mengecewakan di Liga Perdana Inggeris apabila jurulatih Sepanyol Julen Lopetegui memilih Iago Aspas dan Rodrigo Moreno sebagai penyerang, selain penyerang Atletico Madrid Diego Costa.

“Ia satu keputusan yang sukar kerana kami memiliki kelompok pemain berbakat,” kata Lopetegui.

“Kami memilih tiga pemain yang mempunyai aset berbeza dan meletakkan empat pemain di bahagian serangan bukan sesuatu yang ingin kami lakukan.”

Dua lagi pemain Chelsea yang turut diketepikan daripada senarai 23 pemain adalah Marcos Alonso dan Cesc Fabregas.

Bagaimanapun ketiadaan Morata sudah diduga hasil kemerosotan prestasi pemain berusia 25  tahun itu.

Selepas menjaringkan tujuh gol dalam tujuh perlawanan pertama bersama Chelsea, kecederaan belakang nyata menjejaskan keyakinannya.

Morata hanya menjaringkan tiga gol daripada 22 perlawanan sejak awal tahun ini.

“Saya sudah berbincang dengan pemain berkenaan,” kata Lopetegui. “Saya tidak akan namakan sesiapa namun ada pemain yang perlu mendapat tahu daripada saya sendiri bahawa mereka tiada dalam senarai.”

Sebaliknya, Aspas dan Moreno masing-masing cemerlang bersama Celta Vigo dan Valencia di mana Aspas muncul penjaring Sepanyol terbanyak di La Liga dengan 22 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 8:50 PM