BEKAS pengurus Paris St Germain (PSG) dan Sevilla, Unai Emery. FOTO AFP
BEKAS pengurus Paris St Germain (PSG) dan Sevilla, Unai Emery. FOTO AFP
Reuters

ARSENAL yang beraksi di kancah Liga Europa musim depan mendapati bekas pengurus Paris St Germain (PSG) dan Sevilla, Unai Emery mungkin calon paling sesuai menggantikan Arsene Wenger.

Pengendali dari Sepanyol berusia 46 tahun itu yang dijangka akan menyertai Arsenal pada minggu ini, sudah menjulang tiga trofi Liga Europa bersama Sevilla dari musim 2014 hingga 2016.

Begitupun, selepas berpindah ke PSG, beliau tidak berjaya mengulangi kejayaannya di pentas Eropah itu dalam saingan lebih elit, Liga Juara-Juara bersama gergasi Perancis itu.

Emery yang kontraknya tidak disambung PSG pada penghujung musim ini gagal membawa kelab Ligue 1 itu melepasi peringkat 16 terakhir sepanjang dua musim sekali pun pasukan mengeluarkan belanja cukup besar bagi memberi cabaran di pentas tertinggi Eropah itu.

Di luar padang, Emery adalah insan yang lemah lembut dan pernah cuba bercakap dalam bahasa Perancis pada penampilan awalnya di PSG tetapi ia berubah 360 darjah apabila berada di atas padang.

Ketika di Sepanyol, kelakuannya yang cukup bersemangat di atas padang memberinya jolokan ‘warden trafik’ malah beliau pernah diarah keluar padang dalam perlawanan persembahan sebagai penghormatan terhadapnya.

Bekas pemain sayap Sepanyol, Joaquin yang pernah dilatih Emery di Valencia menggambarkan bekas jurulatihnya itu sebagai amat obses dengan bola sepak malah mengatakannya “Secara praktikal ia satu penyakit.”

“Dia adalah salah seorang pengurus terbaik pernah melatih saya,” kata Joaquin yang menyifatkan Emery sebagai terlalu kuat bekerja dan menghabiskan berjam-jam bagi mempelajari rakaman video pihak lawan.

“Saya bekerja dengannya selama tiga tahun. Saya tidak boleh mengharungi tahun keempat. Emery menunjukkan begitu banyak rakaman video sehingga bertih jagung saya habis!”

Sebelum bergelar pengurus, karier Emery bermula sebagai pemain bersama pasukan divisyen dua Sepanyol tetapi ia berakhir susulan kecederaan lutut.

Ketika menguruskan pasukan Lorca, Emery membawa kelab itu ke divisyen dua pada 2005 sebelum berpindah ke Almeria dan mengetuai mereka ke La Liga. 

Semasa di Valencia pada 2008-12, kelab yang boleh dilabel antara terbaik di Sepanyol itu menamatkan kempen di kedudukan tiga teratas La Liga selama tiga musim berturut-turut sebelum magisnya berakhir di Spartak Moscow.

Tetapi ketika kehadiran semulanya di Sepanyol bersama Sevilla menghadiahkan tiga kejuaraan Liga Europa berturut-turut, tempohnya di PSG boleh dianggap sebagai kegagalan sekali pun berjaya meneruskan penguasaan di pentas domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 2:27 PM