KETUA Pegawai Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis.
AFP

KETUA Pegawai Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis mengalu-alukan kehadiran Unai Emery selaku pengurus kelab gergasi Inggeris itu sambil melabel tugas bersama Gunners sebagai ‘paling menarik’ di dunia bola sepak.

Emery adalah bos baharu Arsenal selepas 22 tahun dengan menggantikan Arsene Wenger selepas pengurus dari Perancis itu bertindak mengundur diri pada penghujung musim.

Pengendali berusia 46 tahun itu, yang meninggalkan Paris Saint Germain selepas menjuarai tiga gelaran domestik tiba di Stadium Emirates ketika Arsenal tampak bergelut selepas mengharungi musim bermasalah dan menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di kedudukan keenam.

Arsenal yang kali terakhir menjulang gelaran liga pada 2004 ketinggalan dengan jurang besar 37 mata di belakang juara, Manchester City selain gagal layak ke Liga Juara-Juara untuk dua musim berturut-turut.

Begitupun, ketika bercakap pada sidang media pertama Emery, Gazidiz membuat kenyataan mengejutkan dengan berkata menguruskan Arsenal lebih menarik berbanding mengendalikan kelab seperti City, juara Sepanyol Barcelona atau penyandang juara Eropah, Real Madrid.

Gazidis memainkan peranan penting dalam pelantikan Emery selain Ketua Perhubungan Bolasepak, Raul Sanllehi dan Ketua Pengambilan, Sven Mislintat.

Trio berkenaan menjalankan temuramah terhadap lapan calon dan Gazidiz mendakwa bekas jurulatih Sevilla itu adalah pilihan utamanya di sebalik timbul laporan mengatakan bekas pemain yang kini menjadi pembantu jurulatih City, Mikel Arteta menarik diri kerana tidak mempunyai kuasa terhadap perpindahan pemain.

“Kami percaya tiada posisi di dunia bola sepak yang lebih menarik berbanding kelab bola sepak Arsenal,” kata Gazidiz.

“Mengharungi segala proses dan beberapa siri rujukan, dan juga perjanjian yang baik mengenai analisis, kami mencipta senarai yang panjang, iaitu lapan orang. 

“Kesemua lapan orang yang kami temui, yang kami sasarkan berminat dengan posisi berkenaan. Mereka semua menjalani sesi yang panjang, temuramah seorang demi seorang dengan kami semua dan tiada seorang pun daripada mereka pada mana-mana tahap menunjukkan rasa tidak berminat.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 11:37 AM