PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Zulfaizan Mansor


PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menegaskan faktor kekangan masa menjadi antara punca kebanyakan jurulatih terpaksa mengikat pemain import ‘kitar semula’ pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Sathianathan menjelaskan, tempoh jendela perpindahan kedua yang berlangsung ketika liga sedang berjalan menyebabkan jurulatih berdepan masalah untuk membuat penilaian lebih rapi membawa pemain import baharu.

Malah, beliau berkata, pasukan Liga M juga tidak memiliki pasukan pencari bakat bagi membekalkan pemain import yang dijamin berkualiti kepada pasukan.

“Di negara ini, hanya JDT (Johor Darul Ta’zim) saja ada scout (pasukan pencari bakat) dan mereka pantau liga luar negara. Malah, mereka juga pantau dalam Liga M dan saya tahu setiap kali kita main ada scout dari JDT yang melihat.

“Berdasarkan senario bola sepak kita, jendela perpindahan ketika liga sedang berjalan menyebabkan jurulatih tidak boleh memantau dan menilai pemain yang diperlukan. Malah, untuk buat analisis terhadap seseorang pemain memerlukan dua atau tiga perlawanan.

“Tapi kita tidak ada masa untuk berbuat demikian kerana perlu kendalikan pasukan. Jadi, apa pilihan yang kita ada? Sebab itu saya fikir tidak salah kalau jurulatih ambil semula pemain import yang sudah beraksi dalam liga sebelum ini.

“Kalau kita ada scout di seluruh dunia seperti di Liverpool atau Manchester United, tak apa kerana mereka yang akan sediakan pemain. Tapi kalau kita fikir nak tubuhkan scout, duit pula tidak ada,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sukan NSTP semalam melaporkan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan tindakan mengambil pemain import kitar semula boleh membantutkan perkembangan Liga M.

Malah, Azlan turut mendakwa perkara itu berlaku kerana pengurusan pasukan dan jurulatih mahu mengambil jalan pintas serta malas untuk membuat kajian lebih terperinci mengenai pemain import yang diperlukan.

Mengulas lanjut, Sathianathan jelas tidak bersetuju dengan kenyataan Azlan sambil menyifatkan bekas penolong jurulatih T-Team itu kurang memahami situasi yang sedang dilalui semua pasukan ketika ini.

“Kalau untuk perpindahan awal musim kita boleh nampak banyak pasukan yang mengikat pemain import baharu dan bukan kitar semula. Ia kerana jurulatih ada masa untuk buat pemilihan dan analisis terhadap pemain.

“Tapi, perkara itu orang tak nampak, orang yang komen dia tidak tahu, mungkin dia tak berada dalam situasi sekarang. Macam saya sendiri, kalau tidak boleh ke luar negara kerana perlu kendalikan pasukan, bagaimana saya nak uji pemain baharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 5:54 PM