PEMAIN Pahang, Issey Farran Morgan Nakajima (kiri) melakukan rembatan sambil diasak pemain Kuala Lumpur, Mohd Saifulnizam Miswan di Stadium Darul Makmur. FOTO/ MUHD ASYRAF SAWAL

 

SKUAD Pahang kembali mencatat kemenangan besar apabila membelasah Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Darul Makmur, di sini sebentar tadi.  

Kemenangan itu menebus kekecewaan skuad Tok Gajah yang tewas dalam dua perlawanan berturut-turut kepada Kedah (0-2) dan Terengganu FC (0-1) sebelum ini.

Pada perlawanan itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendahului 1-0 apabila tandukan pemain  pertahanan, Muslim Ahmad menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Ahmad Solehin Mamat seawal minit ketujuh.  

Gol pendahuluan itu nyata membantu memperkemaskan skuad kendalian Dollah Salleh dalam usaha menambah jaringan walaupun lawan juga berusaha untuk menyamakan kedudukan.  

Pada minit ke-17, Pahang kehilangan penyerang importnya, Patrick Cruz akibat kecederaan dan diganti dengan R Kogileswaran untuk memperkasakan jentera serangan Tok Gajah.  

Empat minit sebelum tamat aksi separuh masa pertama, Safuwan Baharudin menambah derita Kuala Lumpur untuk memberi kelebihan kepada tuan rumah dengan 2-0.  

Sebaik babak kedua bersambung, pemain tengah, Issey Nakajima muncul penjaring untuk memastikan tuan rumah selesa mendahului 3-0.  

Pada minit ke-88,  Austin Amutu menjaringkan gol keempat buat skuad Pahang sekali gus mengecewakan Kuala lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 12:24 AM