SANDRO dianugerahkan pemain terbaik Liga Super bagi edisi April. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor


PEMAIN import Kedah, Sandro Da Silva menganggap anugerah pemain terbaik Liga Super bagi edisi April yang diterima, hari ini menjadi motivasi terbaik untuk dia terus bekerja keras membantu kecemerlangan skuad Helang Merah.

Sandro menggondol anugerah anjuran Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) - asiana.my itu selepas menerima undian tertinggi sebanyak 3,884 undi.

Pemain kelahiran Brazil itu mengetepikan cabaran empat calon lain iaitu dua pemain Pahang, Patrick Cruz dan Nor Azam Azih yang masing-masing mendapat 2,719 dan 1,691 undi selain Gonzalo Cabrera dari JDT (2,664) serta pemain Perak, Wander Luiz (1,876).

“Saya amat gembira dengan pengiktirafan yang diberikan dan terima kasih kepada rakan sepasukan di atas kerja keras dan komitmen yang mereka berikan.

“Anugerah ini pastinya akan membuatkan saya terus bekerja keras untuk pasukan yang saya wakili.

“Terima kasih kepada PFAM yang terus mengadakan anugerah ini dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata Sandro selepas majlis penyerahan anugerah berkenaan di sini, hari ini.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan turut disertai pengurus pasukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin.

Selaku pemenang, Sandro menerima trofi dan gambar sumbangan asiana.my, wang tunai berjumlah RM1,500 sumbangan 139associates dan MK, jersi tajaan PaddyGear, produk minuman daripada BB7, barangan sukan AY Sports dan juga perapi rambut Major Pomade.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 11:26 PM