PASUKAN negera tewas kepada Hong Kong 91-10 di Stadium Bola sepak Hong Kong petang tadi.
Fadhli Ishak


SKUAD negara menamatkan saingan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) dengan detik hitam apabila kecundang dengan salah satu jumlah jaringan terbesar dalam sejarah kejohanan.

Mereka jelas bukan lawan pasukan pilihan, Hong Kong apabila tewas 91-10 di Stadium Bola sepak Hong Kong petang tadi.

Malaysia membuka jaringan separuh masa pertama menerusi try pemain naturalisasi dari Fiji, Etonia Vaqa Saukuru yang disempurnakan kapten pasukan, Syahir Asraf Rosli dan penalti Amirul Aqil Kamsol pada separuh masa kedua.

Manakala try Hong Kong disempurnakan Conor Hartley (tiga), Jamie Lauder (dua), Adam Fullgrabe, Jack Delaforce, Jack Neville, Jamie Pincott, Jamie Tsang, Max Denmark dan Robert Keith. Matthew Rosslee turut melakar nama dengan satu conversion manakala Ben Rimene berjaya menyempurnakan 11 conversion.

Ia adalah kekalahan terbesar Malaysia sejak tewas 86-20 kepada Filipina di Kejohanan Lima Negara Divisyen Satu pada 2011. Kekalahan terbesar Malaysia dalam format 15 sebelah adalah kepada Korea Selatan (112-5) pada 1996.

Kekalahan berkenaan menyaksikan Malaysia menamatkan saingan pada kedudukan terakhir tanpa sebarang mata. Hong Kong akan menentang Korea Selatan pada 2 Jun untuk menentukan juara keseluruhan ARC musim ini.

Terdahulu Malaysia tewas kepada Hong Kong 67-8 dan Korea Selatan 35-10 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Korea kemudian menewaskan skuad kebangsaan 67-12 di Incheon.

Skuad kebangsaan kini akan menentang juara Divisyen 1 ARC dalam aksi play-off untuk kekal atau tersingkir namun masih tiada tarikh ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 11:38 PM