RICCIARDO raih petak utama Grand Prix Monaco. FOTO/AFP
AFP

MONACO: Daniel Ricciardo meraih petak utama Grand Prix Monaco dengan melakar satu lagi rekod baru untuk Red Bull dalam sesi kelayakan sebentar tadi.

Namun harapan untuk Red Bull mendominasi barisan depan tidak kesampaian apabila rakan sepasukan, Max Verstappen gagal mengambil bahagian susulan kemalangan pada sesi latihan terakhir.

Jenteranya memerlukan kotak gear baharu, tidak dapat dibaiki dalam tempoh yang diperlukan dan dia akan bermula dari belakang.

Ia adalah petak utama kedua bagi Ricciardo dan ulangan perlumbaan tahun 2016 apabila dia muncul paling pantas, namun tidak dapat muncul juara susulan insiden di hentian pit.

“Sudah 50 peratus tugas dilaksanakan,” kata pelumba Australia itu. “Kita habiskan tugas ini esok. Saya bersedia untuk ini.”

Ricciardo merakam kelebihan 0.229 saat ke atas Sebastian Vettel dari Ferrari dan pendahulu kejuaraan yang juga juara bertahan empat kali, Lewis Hamilton dari Mercedes.

Kimi Raikkonen muncul keempat terpantas untuk Ferrari di hadapan pelumba Mercedes, Finn Valtteri Bottas serta Esteban Ocon dari Force India.

Juara dua kali dan bekas juara di Monaco, pada kedudukan ketujuh di hadapan Carlos Sainz dari Renault, Sergio Perez (Force India) dan Pierre Gasly dari Toro Rosso.

“Kami melakukan pada Khamis, kami terpantas pada setiap sesi disusuli perlumbaan esok dan kami akan meraikannya. Saya sudah melakukan yang termampu, jadi saya mahu menyelesaikan tugasan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 11:59 PM