PEMAIN PKNS FC Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (kanan) diasak oleh pemain JDT Corbin Ong dalam perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Shah Alam, malam tadi. FOTO Roslin Mat Tahir
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my

 

VENUE perlawanan di Lembah Klang terus menghadirkan ‘rasa kurang senang’ buat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila terpaksa akur diikat tanpa jaringan oleh PKNS FC pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Anak buah Raul Longhi itu sekadar meraih satu mata dalam dua aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebelum ini dan mereka sekali lagi tersentak di Shah Alam apabila gagal meraih mata penuh buat kali ketiga dalam saingan liga musim ini.

Namun, skuad Harimau Selatan itu tetap selesa mendahului saingan liga dengan enam mata mengatasi pencabar terdekat, Perak dan impian mereka untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan dilihat masih berada dalam laluan yang tepat.

Pada aksi terbabit, permukaan padang yang basah menyaksikan kedua-dua pasukan ‘terkial-kial’ untuk mencari rentak perlawanan sekali gus menyebabkan hanya tempo permainan perlahan yang mampu diperagakan dua pasukan itu.

Permainan hambar yang ditunjukkan turut menyaksikan tiada percubaan tepat berjaya dilakukan kedua-dua pasukan dalam tempoh 35 minit pertama dengan beberapa sepakan percuma di kawasan ‘cantik’ juga gagal dimanfaatkan bagi memecah kebuntuan.

Percubaan tepat pertama hanya muncul pada minit ke-35 menerusi percubaan Jorge Santos, namun tandukan lemahnya mudah ditangkap penjaga gol PKNS FC, Mohd Shahril Sa’ari.

Pelawat menguasai separuh masa kedua, namun beberapa gerakan yang dilancarkan tetap gagal untuk merobek gawang PKNS FC terutama selepas Shahril cemerlang menafikan percubaan Mohd Nazmi Faiz Mansor yang terbias mengenai pertahanan PKNS FC pada minit ke-56 dan rembatan deras Safawi Rasid lima minit berselang.

Memasuki 15 minit terakhir perlawanan, PKNS FC mula bermain secara bertahan dan kental mematahkan setiap asakan JDT yang berusaha keras memburu gol, namun keputusan kekal 0-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 1:19 AM