epa06767636 Real Madrid's Cristiano Ronaldo (L) and Sergio Ramos (R) aboard an open bus celebrate with the team winning the UEFA Champions League title in Madrid, Spain, 27 May 2018. Real Madrid defeated 3-1 Liverpool in the UEFA Champions League final at the NSC Olimpiyskiy stadium in Kiev on 26 May 2018.
AFP

CRISTIANO Ronaldo menjulang Liga Juara-Juara buat kali kelima semalam namun kenyataan penyerang itu mengenai masa depannya mencipta suasana kurang menyenangkan di Real Madrid.

Ketika rakan sepasukannya menjulang kejuaraan Eropah buat kali ke-13, hasil kemenangan 3-1 ke atas Liverpool, Ronaldo pula memberi bayangan mengenai komitmen terhadap kelab itu.

“Seronok berada di Madrid,” kata Ronaldo yang diberitahu ia kedengaran seolah-olah ucapan selamat tinggal.

“Saya akan berikan jawapan kepada peminat beberapa hari lagi kerana mereka sentiasa bersama saya,”  balasnya.

Dalam tempoh kurang daripada 24 jam kemudian, Ronaldo menyampaikan sebuah mesej yang lebih optimis ketika pemain Real diarak di depan penyokong di Plaza de Cibeles hari ini.

Bercakap kepada peminat, Ronaldo berkata: “Terima kasih semua, jumpa lagi tahun depan.”

Sejak berbulan lamanya, Ronaldo dan wakilnya sering bertelagah dengan Real berhubung kontrak barunya, tatkala pemain Portugal itu dikatakan mahu mengatasi Lionel Messi di Barcelona dan Neymar di Paris Saint-Germain sebagai pemain dengan gaji termahal di dunia.

Keengganan presiden kelab Florentino Perez menyinggung perasaan Ronaldo, yang beberapa kali membayangkan hubungan mereka bermasalah.

Kenyataan terkininya mengenai sokongan peminat kelab dikatakan ditujukan kepada Perez.

Sewaktu komen awal Ronaldo diajukan kepada Perez malam semalam, beliau menunjukkan rasa kurang senang dan enggan melayan kemungkinan pemain itu akan meninggalkan kelab.

“Jangan tanya saya soalan seperti ini ketika kami sedang meraikan gelaran Liga Juara-Juara seperti hari ini,” kata Perez.

“Semua orang ada hak untuk bersuara tetapi perkara terpenting adalah kelab, kami meraikan gelaran ini. Cristiano gembira dan akan sentiasa gembira. Kontraknya masih kekal.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 9:10 AM