JURULATIH penjaga gol Jerman, Andreas Koepke terus beri sokongan kepada penjaga gol Liverpool, Loris Karius. FOTO AFP
AFP

BARISAN kejurulatihan Jerman menghantar mesej menyokong penjaga gol Liverpool, Loris Karius yang melakukan kesilapan di final Liga Juara-Juara dan pasukannya tewas kepada Real Madrid, kata jurulatih penjaga gol, Andreas Koepke.

“Kami cuba membantunya untuk bangkit dan mengantar pesanan kepadanya supaya terus yakin kepada diri sendiri,” kata Koepke, yang juga bekas pemain kebangsaan Jerman.

Ketua Jurulatih, Joachim Loew; pengurus, Oliver Bierhoff serta Koepke, yang kini berada di kem latihan di utara Itali untuk persiapan ke Piala Dunia menghantar mesej itu kepada Karius, berikutan insiden final di Kiew, awal pagi Ahad lalu.

Koepke, juara Piala Dunia dan Eropah bersama Jerman pada 1990-an, menempelak kritikan melampau ke atas Karius, 24, kerana melakukan dua kesilapan mudah yang menyaksikan Liverpool tumbang 1-3.

“Ia melampaui batasan dan ada pandangan tidak membina termasuk daripada ‘pakar’ yang pernah beraksi di era saya,” kata Koepke - merujuk kepada kritikan bekas bintang Jerman, Lothar Matthaeus yang menggelar insiden itu sebagai ‘penjaga gol paling teruk dalam tempoh 20-30 tahun’.

“Ia suatu pengalaman yang menakutkan,” tambah Koepke. “Saya berharap dia akan disokong Jurgen Klopp serta kelabnya, supaya dia boleh menempuh detik sukar ini,” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 11:03 PM