SERENA WILLIAMS
AFP

SERENA Williams kembali penuh gaya dalam aksi Grand Slam semalam, apabila menyarung sut hitam ketat untuk mara ke pusingan kedua di Roland Garros, di sini.

Pemain berusia 36 tahun itu menundukkan pemain Republik Czech Kristyna Pliskova 7-6 (7/4), 6-4 untuk kemenangan pertamanya di kejohanan utama selepas menjulang Terbuka Australia 2017.

“Saya amat rindukan Roland Garros, saya rindukan pertarungan ini,” kata Serena yang juga juara 2002,2013 dan 2015 selepas beraksi di gelanggang tanah liat buat kali pertama sejak tewas kepada Garbine Muguruza pada final edisi 2016 di Philippe Chatrier Court.

“Sudah dua tahun saya tidak bermain di sini. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi saya berlatih bersungguh-sungguh. Saya rasa bagus dan gembira dapat kembali ke sini.”

Ketika Serena dan sutnya menjadi tajuk berita, juara 10 kali, Rafael Nadal dan Maria Sharapova yang menjulang gelaran itu dua kali tidak berdepan laluan mudah.

Nadal merekodkan kemenangan ke-80 di sini dengan menewaskan pemain Itali Simone Bolelli 6-4, 6-3, 7-6 (11/9).

Maria pula yang beraksi buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun susulan penggantungan doping dan menolak tiket wildcard tahun lalu, bangkit daripada ketinggalan 0-3 pada set terakhir untuk menewaskan pemain kelayakan Belanda Richel Hogenkamp 6-1, 4-6, 6-3.

Serena, yang mencatat rekod era Terbuka dengan 23 gelaran Grand Slam, tiba di Roland Garros dengan hanya menyertai empat perlawanan tahun ini, yang terakhir di Miami, Mac lalu.

Selepas melahirkan anak perempuan Alexis Olympia Ohanian September lalu, ramai pemerhati sukan meragui kemampuannya untuk bersaing di kejohanan utama dengan rankingnya menjunam ke tangga 451 dunia.

Bagaimanapun dia menutup mulut pengkritik hari ini biarpun bergelut menewaskan Kristyna di ranking ke-70 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 8:54 AM