GUARDIOLA tidak cuba untuk mendapatkan Isco (kiri) daripada Real. -Foto AFP

MADRID: Pep Guardiola menafikan Manchester City akan membeli pemain Real Madrid Isco musim panas ini malah menyifatkan juara Eropah itu sebagai pasukan yang menakjubkan.

Guardiola yang bercakap ketika acara Yayasan Johan Cruyff di Barcelona hari ini turut mempertahankan pendiriannya untuk memakai riben kuning musim lalu kerana menyokong pemimpin Catalan yang dipenjarakan.

Isco menyambung kontrak sehingga 2022 pada September namun jarang diberi perhatian oleh pengendali Real Zinedine Zidane musim ini.

Selepas menjaringkan hatrik buat Sepanyol ke atas Argentina pada Mac, pemain berusia 26 tahun itu berkata dia tidak lagi yakin dengan jurulatih Perancis itu dan bermain dengan pasukan kebangsaan, memberi ‘nyawa’ kepadanya.

Isco bagaimanapun diturunkan pada final Liga Juara-Juara menentang Liverpool dan menikmati penghujung kempen membanggakan di La Liga.

Guardiola menegaskan Isco tidak akan berada di City musim depan.

“Tidak, Manchester City tidak akan membeli Isco,” kata beliau.

Guardiola menjulang enam gelaran La Liga bersama Barcelona sebagai pemain sebelum membawa pasukan itu meraih tiga trofi liga dan dua gelaran Liga Juara-Juara selaku jurulatih.

Pasukannya bagaimanapun tewas kepada Liverpool pada saingan suku akhir April ketika Real terus mara untuk menjulang gelaran Eropah ketiga berturut-turut dan keempat dalam tempoh lima tahun.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Madrid. Apabila sebuah pasukan menang tiga Liga Juara-Juara beturut-turut, empat dalam tempoh lima tahun, mereka memang pasukan menakjubkan.” - AFP

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 10:01 AM