AMIRUL ketika sidang media berkaitan tiga atlet angkat berat gagal dalam ujian doping di MSN, baru-baru ini. FOTO/OWEE AH CHUN.
Mohd Khairie Khalid


BEKAS jaguh angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim mengakui keputusan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) ‘mengharamkan’ atlet mereka daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama setahun bermula semalam adalah keputusan tepat.

Amirul menyedari keputusan mengejutkan dibuat Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat adalah satu tamparan buat sukan angkat berat, namun ia perlu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada semua atlet.

“Ini adalah pengajaran kepada kesilapan yang dilakukan atlet. Penggantungan selama setahun ini adalah satu tamparan hebat dibuat daripada PABM, tetapi langkah presiden adalah betul untuk menyedarkan atlet bahawa ia satu kesilapan yang besar.

“Keputusan ini memang perlu dibuat sebabnya jika kita tidak buat, saya rasa tiada kesedaran buat atlet kerana ia kerap sangat berlaku,” kata Amirul yang juga Naib Presiden PABM.

Disoal adakah keputusan itu dilihat mendatangkan banyak kerugian terutamanya kepada atlet dari Program Podium yang sedang berjuang merebut mata kelayakan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada 2020, Amirul berkata ia dibuat demi menyelamatkan sukan berkenaan.

“Ini yang dikatakan presiden, keputusan dibuat bukan pada kepentingan individu ... kita bukan mengejar imbuhan, tetapi kena berfikir untuk semua, untuk selamatkan sukan angkat berat,” katanya yang pernah digantung selama dua tahun kerana positif penggunaan bahan terlarang pada 2005.

Semalam, Presiden PABM memutuskan tidak akan menghantar atlet menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa dalam tempoh setahun, berkuat kuasa serta merta, termasuklah Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Ogos depan.

Selain itu, setiap atlet yang mahu menyertai kejohanan tempatan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018, September depan perlu mendapatkan Sijil Bebas Doping serta menjalani ujian di Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS).

Mengulas lanjut, Amirul yang pernah layak beraksi ke Sukan Olimpik, China pada 2008 serta pemenang tiga pingat emas di Sukan Komanwel, Manchester 2002 mendedahkan bahawa PABM sebelum ini pernah diberikan amaran keras oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya sekiranya kejadian pengambilan bahan terlarang masih berlaku selepas tempoh setahun, kem sukan angkat berat di MSN akan ditutup dan semua atlet akan pulang ke negeri masing-masing.

“Kita pun sudah diberikan amaran oleh MSN sebenarnya, kalau masih berlaku lagi kita akan tutup kem angkat berat di MSN, dan semua akan pulang balik ke negeri. Selepas ini hanya negeri akan membina atlet dan membuat kejohanan sendiri,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun ini sebanyak empat kes doping membabitkan atlet angkat berat negara dengan seorang daripadanya adalah pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 12:30 PM